Sahabat Sejati

Monday 31 October 2011

Saya jatuh cinta...


“Eh, biar betul...”

“Dah buang tabiat ke orang tua ni...”

“Masih ada hati lagi rupanya...”

Agaknya itulah reaksinya apabila membaca tajuk di atas.

Benar, ini bukan main-main. Saya betul-betul maksudkannya, ‘saya dah jatuh cinta’.

Jangan silap faham, bukan jatuh cinta yang ‘itu-itu.’ Sebenarnya saya jatuh cinta dengan lagu-lagu dendangan Opick. Pertama kali mendengarnya setelah diperkenalkan oleh seorang sahabat, saya terus terpikat.

Lagu-lagunya mempunyai keenakan yang tersendiri, manakala susunan muziknya yang lembut dan mesra begitu membangkitkan rasa.

Meneliti bait-bait senikatanya amat menyentuh hati, saya bagaikan terserap ke dalam keindahannya. Pastinya saya tidak jemu-jemu melayannya.

Tidak hairanlah anak-anak saya turut dijangkiti ‘demam’ lagu Opick ini...

“Abi, nak dengar lagu Opick...”

Opick

Manusia juga perlu berhibur

Berkata Saiyidina Ali bin Abi Thalib ra.: “Hiburkan hatimu waktu demi waktu, kerana hati itu jika dipaksa akan menjadi buta...”

Manusia, sekuat mana pun fizikal, jiwa dan fikirannya, ada masa-masa akan tergugat dengan ujian hidup. Ia adalah perkara biasa. Manusia memerlukan kerehatan dan ketenangan, kerana mereka adalah makhluk yang lemah.

Bayangkan sebuah mesin jika berterusan beroperasi tanpa henti, apa yang akan terjadi? Pasti ia akan mengalami sedikit sebanyak kerosakan. Begitulah juga dengan manusia, jika melakukan kerja berat tanpa rehat, maka akan sakitlah ia. Sama juga jika sentiasa dihenyak ujian dan dugaan, maka akan resahlah jiwa dan kusutlah fikiran.

Oleh itu manusia memerlukan hiburan untuk memberikan kerehatan dan ketenangan, baik kepada jasadnya maupun jiwa dan fikirannya.

Untuk berhibur, manusia melakukan berbagai-bagai cara. Tetapi apa yang terjadi, kadang-kala manusia tersilap memilih dalam berhibur.

Hiburan yang mendamaikan

Menyintai nyanyian dan merindukan suara yang indah itu adalah naluri peradaban manusia...
Bahkan juga dikatakan bahawa burung-burung dan binatang-binatang ternak turut terpesona dengan suara yang indah dan terbuai oleh bunyi seruling yang dialun...

Hiburan yang sejati menjadi penawar kepada diri. Hiburan sejati memberikan ketenangan dan mendamaikan hati. Demikianlah hiburan yang hakiki.

Termasuklah alunan ayat-ayat suci al-Quran, selawat yang memuji Nabi saw, nasyid-nasyid yang mengagungkan Allah, puisi-puisi yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan lagu-lagu yang membangkitkan semangat untuk berjihad serta menegakkan Islam dan lagu-lagu yang meniupkan rasa keinsafan, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah serta mahu bertaubat. Rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenang jiwa, menghilangkan tekanan perasan, mengenyahkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasad dan emosi.

Masih ramai yang menganggap jika Islam diamal dan dihayati, maka akan murunglah dunia. Hidup menjadi tidak ceria. Bukan begitu, Islam tidak jumud dan tidak mengongkong. Islam tidak menolak hiburan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tetapi Islam datang untuk mengawal dan memberi panduan agar tidak tersalah dalam berhibur.

Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘beryarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton.

Selain dari sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan si pendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlaluan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan merubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata serta lirik dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi.

Pandai-pandai memilih dan selamat berhibur!

(Rujuk buku al-Islam wa al-Fann karangan Dr Syeikh Yusuf al-Qardhawi untuk keterangan lebih lanjut)

2 comments:

Rintihan HambaMu said...

perkongsian yg menarik..

abuikhwan said...

semoga bermanfaat...

Post a Comment