Sahabat Sejati

Saturday 16 February 2013

Catatan Jumaat

Sekarang adalah pertengahan bulan Februari. Kebiasaannya ia bukan musim hujan, tetapi di tempat saya sudah enam hari hujan membasahi bumi. Bermula pada pagi Ahad Tahun Baru Cina sehinggalah ke hari ini. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang hanya renyai-renyai, jika berhenti pun sekadar dua tiga jam dengan cuaca yang sentiasa mendung. Bahkan ketika saya sedang menaip ini, di luar berdetak bumbung beranda ditimpa hujan tetapi tidaklah lebat.

Jumaat tadi saya bersembahyang di masjid Balok Makmur. Alhamdulillah masjid yang sangat makmur dengan kuliah-kuliah ilmu. Boleh dikatakan hampir setiap malam ada kuliah maghrib di situ. Saya selalu saya juga ke situ mendengar kuliah selain daripada musollah di tempat saya. Biasanya saya ke situ jika ada ustaz jemputan dari luar menyampaikan kuliah.

Khatib yang berkhutbah pada hari ini ialah al-Fadhil Ustaz Khairul Ikhwan a.k.a ustaz budak besar. “Kewajipan memilih pemimpin yang adil dan amanah”, wahh... cukup sesuai dengan keadaan semasa. Luas mata saya menghayati isi-isi khutbah yang amat segar dan relevan itu. Kalau tidak saya pun terkulai layu seiring dengan khutbah yang mendodoi-dodoi. Saya pernah bersembahyang Jumaat di satu daerah, masya-Allah khutbahnya, entah berapa kali saya tersengguk-sengguk menahan mengantuk yang amat sangat.

 Buku-buku yang dibeli

Keluar dari masjid saya singgah sebentar di deretan gerai yang menjual bermacam –macam barangan. Ada gerai menjual buku, minyak wangi, barangan kesihatan, kurma, kismis dan sebagainya. Saya pula akhirnya ‘terbeli’ juga 3 buah buku untuk koleksi. Membaca sinopsisnya di kulit belakang menarik minat saya membelinya. Entahlah bila agaknya dapat menghadam isi kandungannya, saya tidak pasti. Begitulah keadaan saya, amat lemah jika di kedai atau toko buku. Paling tidak pun mesti membelinya walaupun satu. Tak apalah, bukannya sesuatu yang membazir. Boleh dipusakakan ke anak cucu...

Si kecil Haikal

Petang tadi ketika balik dari kerja saya perasan yang ‘si kecil’ Haikal tampak seperti tidak selesa, sekejap menggaru badan, sekejap menggaru kaki dan tangan. Saya segera mengambil tahu. Ahh, rupanya-rupanya ada suatu keganjilan, kaki, tangan dan belakangnya ditumbuhi ruam-ruam kemerahan.

Sah! Demam campak, tapi demamnya belum lagi.

Saya cuba untuk bertenang, walaupun merasa amat kasihan melihatnya tergaru-garu kegatalan. Selepas Isyak saya dan isteri membawanya ke klinik. Alhamdulillah keadaannya tidaklah membimbangkan, sang doktor manis bertudung itu memberikan ubat sapu yang berwarna putih berserta ubat demam yang perlu diminum sekiranya ada tanda-tanda demam.  Mudah-mudahan tidak melarat dan semuanya berada di dalam keadaan baik.

Sabtu dan Ahad saya tidak berkerja, bolehlah saya menemani isteri menjaga Haikal.

Insya Allah.

0 comments:

Post a Comment