Sahabat Sejati

Thursday 14 March 2013

Cetusan rasa: Ingatan buat diri dan teman (2)

Saya terpaksa menolak ajakan beberapa orang sahabat untuk singgah minum di warung berhampiran masjid. Kebiasaannya sebilangan jemaah masjid singgah di situ untuk minum serta berborak-borak seketika. Lebih-lebih lagi pemilik warung itu juga sebahagian ahli jemaah masjid. Saya pun sering singgah minum menemani sahabat yang lain jika ada masa terluang, namun tidak untuk malam ini kerana saya mempunyai urusan yang mahu diselesaikan di Pusat Tarbiyah.

Kenderaan yang dipandu bergerak perlahan meninggalkan perkarangan masjid. Beberapa orang pakcik yang berjalan kaki mengangkat tangan seraya melemparkan senyuman kepada saya. Tanpa berlengah saya mengangkat tangan berserta senyuman membalas kembali keramahan mereka.

Saya mendongak seketika, melihat langit Ilahi yang dilatari kerlipan bintang. Bagaikan terasa dekat, mengasyikkan pandangan mata. Subhanallah! Malam yang indah dan syahdu.


Mengingati firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa neraka yang menyala-nyala.” (al-Mulk: 5)

Imam Bukhari menukilkan bahawa Imam al-Qatadah berkata: ”Allah menciptakan bintang-bintang untuk tiga kepentingan iaitu: “Sebagai perhiasan yang mengindahkan langit malam, sebagai alat perejam terhadap syaitan-syaitan dan sebagai petunjuk arah dan haluan kepada manusia.”

Manakala Kiyai Haji Quraisy Syihab menyatakan fungsi bintang adalah: “Bintang yang dekat menghiasi langit bagi orang yang melihatnya berdasarkan firman Allah SWT:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: (Bintang-bintang yang berbagai bentuk dan keadaan) serta Kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.” (al-Hijr: 16)

Dan sebagai alat pelempar syaitan, sebagaimana di dalam surah al-Mulk ayat 5.

Demikanlah tafsiran alim ulama, namun apakah yang terlintas difikiran kita tatkala menatapi ciptaan Allah ini? Apa yang berlegar dibenak? Seringkali ciptaan-Nya direnung dan dibelek, namun Penciptanya dibuang jauh-jauh daripada perasaan. Saya maksudkan kita melihat alam ini sekadar melihat dengan perasaan yang kosong, tanpa terdetik keinsafan. Ciptaan-Nya dikagumi, tetapi Penciptanya entah kemana. Itulah yang sering berlaku. Melihat keindahan tetapi lupa kepada Pencipta keindahan itu.

Gunung-ganang, tasik, sungai, langit, lautan, hutan belantara, haiwan, mergastua dan segala panorama yang indah menyentuh rasa sehingga kita tenggelam dalam keasyikkannya, lalu kita kagumi dan takjub dengannya. Tidak henti-henti mulut memuji-muji, namun dimanakah Dia? Tidakkah hadir jiwa yang tunduk kepada-Nya, tidakkah terasa kerdilnya kita di celahan ciptaan-Nya yang hebat itu?

Sesungguhnya disebalik ciptaan-Nya, sebenarnya Dia mahukan kita mengenali dan mengabdi diri kepada-Nya. Oleh itu, cetuskankanlah rasa syukur yang tidak terhingga di atas anugerah yang besar ini.


“Ya Allah, Engkau Maha Indah! Engkau Maha Hebat!

Kenderaan masih lagi bergerak perlahan bersama deruan kenderaan lain. Agak sibuk jalan raya malam ini. Empat hari lepas berlaku kemalangan tidak jauh dari simpang masjid yang melibatkan motosikal dan kereta. Khabarnya penunggang motosikal itu meninggal di tempat kejadian. Usianya dalam lingkungan sekolah menengah, masih muda. Kematian tidak memilih sesiapa.

Kata guru saya: “Jangan tertipu dengan umur yang muda kerana mati bukan syarat tua. Jangan tertipu dengan badan yang sihat kerana mati bukan syarat sakit. Mati apabila telah sampai ajal.”

Sesungguhnya kematian adalah perpindahan dari satu alam ke alam yang lain. Alam-alam yang lain itu juga adalah milik Allah SWT. Kematian adalah perpindahan dari alam dunia ke alam penungguan untuk sampai ke kampung akhirat. Ia pasti akan mendatangi sesiapa sahaja, tanpa mengira usia pangkat, kedudukan dan sebagainya. Allah SWT telah menetapkan ketentuan ini di banyak tempat di dalam al-Quran, antaranya:

“Dan tidaklah Kami jadikan kekal manusia yang diciptakan sebelum kamu, apakah jika kamu dimatikan (wahai Muhammad) maka mereka itu akan tetap kekal? Semua yang bernyawa pasti akan mati, dan Kami akan mendatangkan kejahatan dan kebaikan kepadamu sebagai dugaan bagimu dan kepada Kamilah nanti kamu akan dikembalikan.” (al-Anbiya`: 34-35)

Manakala di dalam surah al-Ankabut ayat 56-57, Allah SWT berfirman:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku sangat luas, maka kepada Aku sahajalah kamu semua beribadat. Dan setiap yang bernyawa pasti akan mati kemudian kepada Kamilah kamu semuanya nanti akan dikembalikan.”

Apa yang penting ialah persiapan untuk menghadapi saatnya. Maka bersegeralah beramal ibadat sebelum tiba masa yang sudah tiada peluang untuknya. Apa yang didapati hanyalah kerugian dan penyesalan. Saya benar-benar mengingati diri saya sendiri!

Allah SWT berfirman:

“Dan apabila maut telah mendatangi salah seorang di antara mereka, mereka berkata: “Ya Rabb, kembalikanlah kami ke dunia! Kami akan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, dan sekali-kali tidak mereka akan kembali, ucapan itu adalah yang diucapkan oleh orang-orang yang berada di alam barzakh hingga sampai pada hari mereka dibangkitkan dari kuburnya.” (al-Mukminun: 99-100)

Penyesalan yang tiada penghujungnya!

Alunan lembut lagu “You came to me” dendangan penyanyi Sami Yusuf dari corong radio terasa amat mendamaikan, ditambah dengan pemanduan yang perlahan. Hati manusia mudah terusik dengan sesuatu yang indah. Termasuk dalam keindahan ialah sesuatu yang memberikan kedamaian, ketenangan, kebaikan dan kegembiraan. Memang begitu fitrahnya. Sewaktu lahir ke dunia hati manusia putih bersih umpama kain putih yang tiada lorekan sebarang warna di atasnya. Selama mana ia masih putih, maka selama itulah ia dekat dengan kebaikan.

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging, bilamana ia baik, maka baiklah seluruh anggota dan bilamana ia rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa kebaikan manusia (jasad) itu bergantung kepada kebaikan hatinya (rohaniah).


Terimbau kenangan

Mendengar kisah yang diceritakan oleh Ustaz Radzi di dalam kuliah tadi, tidak semena-mena saya teringat satu peristiwa yang menimpa seorang rakan. Jika boleh saya tidak mahu mengingatinya, namun ingatan yang datang secara spontan itu menyebabkan bayang wajahnya tertancap di hadapan mata. Kasihan rakan saya itu. Biarpun akhirnya terbukti hanya fitnah dan namanya telah pun bersih, namun saya pasti dia masih merasai sakitnya. Sebagaimana kekabu bantal yang telah berterbangan ditiup angin tanpa dapat dikutip kembali.

Teringat perbualan pada satu malam bersama sahabat yang lain ketika cerita mengenainya mula tersebar. Saya cuba untuk berhati-hati...

“Dah dengar cerita mengenai sahabat kita?” Tanya Khairi yang duduk di kerusi hadapan sambil berpaling kepada saya yang bersandar di kerusi belakang. Saya yang sedang terbuai di antara sedar dan tidak menahan rasa mengantuk menggagahkan diri untuk mencelikkan mata. Jam sudah pun melewati pukul 12.50 pagi.

Jalanraya agak sibuk dengan kenderaan yang bersimpang-siur biarpun waktu telah dinihari. Ahh..perkara biasa malam minggu. Macam-macam keseronokan yang boleh didapati pada malam minggu. Ada ungkapan yang mengatakan malam minggu adalah malam yang sentiasa hangat, kehidupan ada pada malam minggu dan berbagai-bagai lagi, ada kebenarannya. Namun, bagi saya ungkapan itu tidaklah memaksudkan apa-apa, yang tentunya hiburan dan keseronokan mudah didapati pada malam minggu.

Sesekali deruman enjin motosikal anak muda yang membingitkan telinga memotong laju kereta yang kami naiki sambil mempamerkan aksi yang membahayakan. ‘Mat rempit’ jolokan yang diberi, bukan hanya di tempat saya, dimana-mana bandar pun sama.

“Huhh, tak sayang nyawa ke...” Baihaqi yang sedang memandu merungut.

Kami bertiga dalam perjalanan pulang dari mesyuarat di Pusat Tarbiyyah Darul Ansar. Agak panjang mesyuarat tadi yang membincangkan berbagai-bagai program khususnya berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan. Letih dan penat dengan kesibukan yang pelbagai, tetapi menyeronokkan dengan seribu kepuasan. Saya kira itulah sedikit amal kebaktian yang dapat saya lakukan. Sedikit kebajikan dengan niat berkongsi senyuman dan kegembiraan dengan orang lain.

Suasana sepi seketika, Baihaqi yang sedang memandu memperlahankan sedikit suara yang keluar dari corong radio. “Siapa yang anta maksudkan, Masri (bukan nama sebenar) ke? Tanya beliau.

Saya masih mendiamkan diri, mencari-cari ayat yang sesuai untuk diluahkan.

“Ada dengar tapi tak tahu pula betul salahnya,” saya menjawab pendek, kalau boleh tidak mahu bercakap soal itu. Malahan kalau boleh mahu melupakan terus kisah itu.

“Entahlah, kasihan juga kat dia. Tapi betul ke dia yang buat, rasa macam tak percaya je.” Khairi membalas, meluahkan kegusaran yang bermain di benaknya.

“Kalaulah benar cerita itu, mudah-mudahan dia insaf dan kembali memohon keampunan Allah. Sesiapapun boleh tersilap dalam hidup ini, saya, kamu dan termasuklah Masri. Benar, dia dah melakukan kesilapan, tetapi kita juga mesti berpada-pada dalam nak menghukumnya. Jangan sampai kita melampui batas, seolah-olah tiada langsung kebaikan yang pernah dilakukannya.” saya mengatur bilah-bilah perkataan, terasa payah untuk memberikan butir bicara. Bimbang apa yang diluahkan disalah tafsir dan menjadi fitnah pula.

“Tapi jika dia tidak bersalah dan cerita itu hanyalah fitnah untuk mengaibkannya, saya berharap dia tabah menghadapinya. Dan orang yang memulakan cerita itu, mudah-mudahan dia bersihkan pula apa yang telah dikotorinya, dan memohon keampunan kepada Allah atas segala perbuatannya.” Saya menyambung lagi.

Seketika masing-masing mendiamkan diri. Hanya suara nyanyian yang kedengaran dari corong radio mengganti bicara kami.

Tersentuh dengan sesuatu yang menimpa seorang rakan akibat satu kesilapan. Apakah kesilapan yang telah dilakukannya? Besar sangatkah? Biarlah saya simpan sahaja sebagai rahsia, kerana apa yang ingin saya sampaikan di dalam coretan pendek ini adalah teladan mengenainya.

Saya tidak berbuat apa-apa tatkala berita ini disampaikan oleh seorang rakan, namun saya cuba memujuk hati untuk berlaku adil dalam menilai mengenainya. Bimbang ada hati yang tambah terluka sedangkan ia telah pun lama terluka. Sebab itu saya menggunakan kalimah ‘kesilapan’ bukan ‘kesalahan’ supaya ianya tidak nampak terlalu besar dan salah yang amat sangat. Dan yang paling saya takuti jika ianya adalah satu fitnah.

Kerana sebab yang sama. Saya seorang manusia biasa, sentiasa beringat-ingat. Bersederhana dalam percakapan dan tidak songsang dalam menghukum sesiapa sahaja atas perlakuan mereka. Lebih-lebih lagi sesuatu yang boleh mengaibkannya.

“Saya bimbang akan mengaibkannya, sebab itu sewaktu cerita ini sampai ke telinga, saya tidak memberi apa-apa komen. Bukan bermakna saya bersetuju dengan kesilapannya, yang tidak benar tetap tidak benar, kita kena mengakuinya. Tetapi saya tidak mahu menambah sesuatu keaiban. Lebih-lebih lagi jika ianya belum tentu kebenarannya.” Saya menambah lagi.

Al-Quran sendiri telah mengingatkan bahaya tidak meyelidiki kesahihan sesuatu berita yang disampaikan.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik datang membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (al-Hujurat: 6)

“Ana bersetuju dengan anta, nak membela pun biarlah kena dengan keadaannya, dan nak menghukum pula biarlah kena dengan kesalahannya. ” Khairi membalas.

“Tau takpe...” Baihaqi yang tadi diam menyambung sambil tersenyum.

“Lupakanlah perkara tu, kita singgah minum di restoran hadapan tu nanti. Rasa haus pulak tekak ni.” Khairi pula menambah.

“Yang ni ana betul-betul setuju.” Balas Baihaqi semula, kami sama-sama ketawa.


Fitnah. Sakit dan perit jika ia menerjah.

Sama-sama beringat


Tanpa disedari saya sudah pun sampai di Pusat Tarbiyah. Rakan-rakan sudah ramai yang menunggu. Serta-merta ingatan itu terbang menjauh. Untuk melupakan peristiwa itu sememangnya sukar, tetapi sebolehnya saya mahu ia hilang terus dari simpanan memori. Buat apa mengenangkannya, sedangkan ia telah terbukti tidak benar.

Buat mereka yang suka menyebarkan berita tidak benar, baik melalui kata-kata, tulisan atau bagaimana cara sekalipun, lebih-lebih lagi di era dunia tanpa sempadan ini. Memang mudahnya menyebarkan fitnah di zaman ini, hanya dengan satu klik, ke seluruh dunia boleh tersebar dengan cepat. Tetapi renungilah hadis ini, mudah-mudahan ianya mampu menyedarkan dan memberi keinsafan...

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.” Lantas baginda saw menjelaskan: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat.” “Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh) dan memukul orang. Lalu diberi segala pahala kebajikannya itu kepada orang-orang tersebut. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti, dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosa orang-orang tersebut pula akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Muslim)

Sama-sama beringat...

0 comments:

Post a Comment