Sahabat Sejati

Wednesday 5 June 2013

Cetusan rasa: Peringatan buat diri ini

 

Aku menulis...

Esok adalah perjalanan yang masih panjang. Seminit dari saat ini pun aku tidak mampu meneka, semuanya tidak jelas dan nyata. Apatah lagi mahu memikirkan hari esok.

Perasaan itulah yang sering bertandang, lalu berpintal-pintal mencuit fikiran, apakah aku sempat menjengah sinar mentari esok? Sedangkan kematian itu sering mengintai-ngintai di antara pejam dan celik.

Melihat dedaun kering yang berguguran, melayang-layang tanpa kemudi disapa sang bayu. Hati mula berdetik, dahulu daun itu asalnya tunas yang lembut, kemudian semakin membesar hijau warnanya. Hari yang berlalu, ia kemudiannya menjadi kuning dan seterusnya menjadi kering. Lalu ia terlerai dari tangkainya dan gugurlah ia ke bumi.

Demikianlah perumpamaan hidup manusia. Bagi diri ini juga, aku pun datang dan aku pun akan pergi. Tiada yang kekal di dunia ini kecuali Dia. Kebimbangan sentiasa menyelimuti diri, benar-benar merasakan masih belum mencukupi bekalan, sedangkan Junjungan mulia telah lama mengingatkan:

“Al kayyisu (orang yang bijak/cerdik) ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal dengan untuk bekalan selepas mati Sedangkan al ‘aajizu (orang yang gagal) adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada (pemberian) Allah.” (Sunan Ibn Majah: 4260; Musnan Imam Ahmad: 124).

Dalam satu hadis yang lain disebutkan:

“Aku bersama Rasulullah, kemudian datang seorang lelaki dari Ansar, memberi salam ke atas nabi SAW kemudian berkata: siapakah mukmin yang paling baik. Jawab nabi: yang paling bagus akhlaknya. Dia bertanya lagi: siapa pula yang paling cerdik? Nabi jawab: Mereka paling banyak mengingati mati dan melakukan persediaan selepas itu, itulah orang yang paling bijak” (Sunan Ibn Majah:4259)

Membuat persediaan untuk mengadap Allah SWT adalah satu pelaburan jangka panjang yang sangat menguntungkan. Tiada perniagaan yang menawarkan keuntungan seumpama keuntungan mengingati mati. Namun kebanyakan manusia tertipu dengan kehidupan ini. Mereka terpedaya dengan kelazatan yang sementara, bahkan mereka menyangka begitu. Sedangkan akhir kehidupan adalah kematian yang terbentang dua jalan iaitu syurga dan neraka. Maka berbahagialah mereka yang di tempatkan di dalam syurga, sebagaimana disebutkan oleh Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. Iaitu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya, Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa. Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka; (Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.” (al-Dukhan: 51-57)

Manakala bagi yang engkar, tidak lain tempat kembalinya adalah neraka Allah yang tidak terbanding pedihnya azab seksaan.

Allah SWT berfirman:

“Ingatlah, sesungguhnya pokok Zaqqum, -(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): ‘Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. ‘Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak’.(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): ‘Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)’(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): ‘Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”(al-Dukhan: 43-50).

Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa membimbing kita semua ke arah jalan-Nya yang benar.

Sesungguhnya peringatan ini adalah lebih utama buat diriku yang seringkali lalai dalam kehidupan yang mempesona ini.

0 comments:

Post a Comment