Sahabat Sejati

Saturday 27 July 2013

Tidak mahu GAGAL lagi


"Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
 *****
“Makin surut jemaah, belum pun masuk separuh Ramadhan,” kata sahabat saya beberapa hari lepas sewaktu kami beriringan usai sembahyang terawih.

Saya hanya tersenyum mendengarnya. Memang benar semakin kurang jemaah yang hadir. Semakin menghampiri penghujung Ramadhan semakin susut, malah ia bukanlah sesuatu yang aneh kerana pada pemerhatian saya memang begitu senario yang berlaku setiap tahun. Saya rasa di mana-mana tempat pun lebih kurang sama, tetapi tidaklah semua. Banyak lagi masjid dan surau yang masih subur dengan hadirin bersolat terawih.

Saya teringat satu dialog di dalam cerita Nujum Pak Belalang. Tatkala ahli nujum Negara Masai bertanyakan soalan:

Satu, banyak-banyak.

Dua, sikit-sikit.
Tiga, jarang-jarang.
Empat, kadang-kadang.

Apakah jawapannya?

“Kahwin!” Tingkah ahli nujum Negara Beringin Rendang memberi jawapan.

“Betul!”

Bersorak hamba rakyat kegembiraan.

Saya rasa ramai yang mengingati cerita ini. Filem lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang amat diminati oleh lapisan generasi. Kebanyakan filem-filemnya mengandungi mesej serta sindiran yang tertentu. Namun, saya beranggapan jawapan yang paling sesuai dan kena dengan suasana ketika bulan Ramadhan ini ialah, terawih!

Mengapa?

Minggu pertama, saf masih banyak, minggu kedua dah tinggal sikit. Masuk minggu ketiga jarang-jarang pula saf itu dan masuk minggu keempat kadang-kadang sahaja yang datang terawih kerana semuanya sibuk dengan persiapan hari raya. Mungkin menjelang hari-hari terakhir Ramadhan saf ‘semakin maju ke hadapan’. Mungkin yang masih istiqamah ialah tuan Imam kerana mahu mengimamkan sembahyang terawih, kemudian bilal kerana mahu mengalunkan selawat dan seterusnya beberapa orang makmum yang masih setia.

Inilah senarionya.

Malam keberkatan


Bukankah kita semua telah maklum akan 10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Kita disarankan agar menghidupkan malam –malam ini dengan menambah-nambahkan lagi amal ibadat lebih daripada biasa. Istimewanya malam ini, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam al-Qadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu malam al-Qadar. Malam al-Qadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar". (al-Qadr: 1-5) 

Mujahid meriwayatkan sebab turunnya ayat ini ialah Nabi saw telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah saw telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah saw bahawa ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan. Ini menjadikan Rasulullah saw dan para sahabat merasa amat gembira.

Ya, lailatulqadar juga menjadikan kita sebagai umat baginda turut merasa gembira, iaitu ganjaran yang lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Jadi, mengapa harus disia-siakan kelebihan dan keistimewaannya.

Disebutkan di dalam satu hadis: 
"Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175) 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda:
"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)." ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Nah! Banyaknya kelebihan dan keistimewaan malam-malam akhir Ramadhan, bahkan kita semua telah mengetahui akan kebenarannya. Sejak aqil baligh sehingga sekarang berapa kalikah Ramadhan sudah kita lalui. Bagaimanakah potensi Ramadhan yang telah kita lalui itu? Sukses atau sekadarnya? Maka, tetapkanlah keazaman dan usaha. Sebolehnya tahun ini kita tidak mahu gagal lagi. Ya, kita tidak mahu GAGAL lagi!

Saya sekadar mahu mengingatkan kembali agar kita tidak terlepas peluang meraih ganjaran bersama Ramadhan ini. Saya benar-benar maksudkannya, terutamanya kepada diri saya sendiri.

Kepada Allah jua dikembalikan segala urusan...

0 comments:

Post a Comment