Sahabat Sejati

Sunday 1 September 2013

Fikir-fikir: Kita tidak hidup sendiri


Hampir jam 2 pagi saya dan isteri pulang ke rumah kerana membantu persiapan perkahwinan anak jiran kami. Beliau di antara jiran terdekat saya kerana rumahnya betul-betul berhadapan dengan rumah saya, yang hanya dipisahkan jalan tar. Jika melaung pun boleh terdengar suara.

Cukup seronok bergotong-royong menyiapkan kerja-kerja yang ada. Memotong dan mencuci daging, mendirikan khemah serta memasak air gula. Manakala kaum wanita pula mengupas bawang, sayur labu, menyiang ikan dan sebagainya. Walaupun penat dengan kerja-kerja yang dilakukan tetapi seronok dan meriah kerana dilakukan beramai-ramai. Bak kata pepatah berzaman: yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Apa sahaja kerja jika dilakukan dengan muafakat dan bekerjasama akan terasa mudah dan ringan.

Sahabat saya ini tidak mahu menggunakan khidmat katering sebagaimana kebiasaan hari ini, sebaliknya beliau mahukan majlis kenduri kahwin anaknya dilakukan secara bergotong-royong. Jika kita perhatikan, kebanyakan majlis perkahwinan sekarang telah pun berubah dari sudut persiapannya. Khidmat katering telah pun mengambil alih dengan begitu meluas. Bahkan bukan hanya majlis perkahwinan, malahan sambutan doa selamat, hari lahir serta keraian-keraian tertentu juga turut menggunakan khidmat katering.

Bukan membuat perbandingan 


Saya tidaklah mengatakan bahawa khidmat katering itu tidak baik, ada kelebihannya. Dari satu sudut ia amat memudahkan tuan rumah. Tidak perlu pening kepala atau memenatkan badan. Hanya sediakan duit dan selesai, manakala tuan rumah boleh bersandar rehat di kerusi atau menunggu di pintu pagar ‘meraikan’ tetamu yang datang dan pulang.

Tetapi saya melihat kerja-kerja menyiapkan majlis perkawinan secara bergotong-royong seperti zaman dulu tidak kurang kebaikannya. Silaturrahim dan muafakat adalah kunci utama. Mengapa saya mengatakan demikian? Fikirkan, bagaimana seorang penduduk kampung atau taman perumahan mahu meminta bantuan daripada penduduk komunitinya jika sebelum ini dia tidak pernah bercampur-gaul atau melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti setempat. Tentu sulitkan?

Contohnya, seseorang yang mahu menjemput jemaah masjid bertahlil atau kenduri doa selamat di rumahnya, sedangkan dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke masjid. Tentu ada perasaan malu dan segan, lainlah jika kulit mukanya ‘tebal berlapis’. Oleh itu, mahu tidak mahu dia terpaksa juga ke masjid atau surau untuk bercampur-gaul dengan orang masjid. Tetapi ada juga yang datang ke masjid pada hari itu sahaja semata-mata untuk menjemput jemaah masjid ke rumahnya. Setelah selesai majlis tahlil, maka hilanglah kelibatnya. Kelibatnya akan kelihatan semula tatkala mahu mengadakan doa selamat atau tahlil kematian ahli keluarganya.

Namun ada juga yang ‘cerdik’ sedikit, iaitu dengan mewakilkan sahaja kepada tuan imam untuk menjemput kepada ahli jemaah. Tuan imam yang baik hati dan amanah itu pun terpaksa memaklumkan kepada semua walaupun dengan hati yang berat.

Oleh itu, peringatan buat diri saya. Lenyapkan keegoan diri, jinak-jinakkanlah hati untuk hadir ke masjid atau surau, bersuaikenallah dengan jiran sebelah menyebelah, kerana satu masa nanti kita pasti akan memerlukan mereka dalam hal-hal yang tertentu. Saya mengatakan demikian kerana ada di antara ‘mereka’ yang tidak peka dengan perkara ini. Berjiran sebelah menyebelah tetapi masing-masing membuat hal sendiri, tidak bertegur-sapa. Jika sekarang ini kita merasa kita ada duit, kita tidak memerlukan sesiapa, tetapi sayugia ingatlah wang tidak mampu untuk membeli segala-galanya. Tiba masanya kita akan menyesal kerana mengabaikan tanggungjawab ini.

Tulisan ini bukanlah mahu membandingkan mana yang lebih baik, katering atau gotong-royong. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Setiap orang ada pandangan dan pilihannya yang tersendiri. Mereka bebas memilih apa yang mereka mahu. Terserah, mahu katering silakan, mahu bergotong-royong silakan. Semuanya bergantung kepada keadaan, kepentingan dan kemampuan masing-masing. Yang lebih utama biarlah majlis yang diadakan itu ‘selamat’ daripada perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Selain daripada itu, apa yang saya mahu celikkan ialah tanggungjawab kejiranan serta bergaul dengan harmoni di dalam masyarakat agar mewujudkan rasa kasih sayang di dalam kehidupan.

Itulah yang terbaik!

0 comments:

Post a Comment