Sahabat Sejati

Thursday 26 September 2013

Pecal mempelam, nikmat rezeki daripada-Nya


Mempelam muda.

Mendengar namanya sudah tentu ramai yang dapat membayangkan rupa dan rasanya. Masam bukan kepalang. Sesetengah orang memanggilnya buah mangga. Saya tidak tahu jika ada yang sanggup memakannya. Kecuali jika dimakan dengan kicap bercampur gula dan hirisan lada, ditempat saya dipanggil makan ‘colek’. Atau setidaknya dicecah dengan garam halus.

Tetapi zaman budak-budak dahulu, saya dan rakan-rakan boleh pula ‘membahamnya’ begitu saja tanpa menghiraukan masamnya yang mampu mengembangkan pipi dan mengenyitkan mata.

Teringat seloroh seorang rakan: “Makanan yang paling enak dimakan ialah ketika zaman kanak-kanak.” Benar, saya masih mengingati dan mengecapi zaman itu. Apa yang terhidang, dinikmati tanpa karenah dan sungutan. Semuanya terasa sedap dan enak. Saya masih ingat, buah senduduk masak yang rasanya pahit-pahit kelat yang menjadi makanan burung merbuk pun boleh dikunyah sehingga gigi menjadi kebiruan. Tersenyum saya sendirian mengingati zaman itu.

Pecal mempelam


Hari ini mertua berserta keluarga adik ipar saya datang bertandang ke rumah. Ibu mertua saya jika datang tidak pernah dengan tangan kosong. Ada sahaja buah tangan yang dibawa dari kampung untuk anak cucu. Jagung, durian, duku, ubi kayu, sayuran dan sebagainya. Paling tidak pun buah kelapa yang tidak bermusim itu.

Memanglah satu rahmat apabila mertua sentiasa membawa kelapa atau mengirimnya kepada ipar saya setiap kali datang ke rumah. Maklumlah di taman perumahan saya tidak ada pokok kelapa. Tetapi untuk mendapatkan santan segar sebenarnya tidak sesukar mana, boleh sahaja membeli di pasar basah berhampiran taman, itupun sebelum pasar ditutup pada pukul 2 petang. Jika tidak terpaksa pula membeli kelapa di pasaraya atau santan di dalam kotak. Semuanya perlu dibeli.

Sesekali terfikir juga beruntung jika dapat duduk di kampung. Sayur-sayuran boleh di tanam belakang rumah, ayam dan itik boleh dipelihara, kelapa pula boleh dikait atau dipanjat dan sekali-sekala boleh memancing di sungai belakang rumah. Pendekata, amat mudah berbanding tinggal di bandar yang serba-serbi perlu dibayar. Tetapi mungkin ada orang kampung pula yang berkata, mudahnya tinggal di bandar. Serba-serbi mudah, semua kerja dilakukan oleh jentera dan mesin.

Apapun, kedua-duanya ada pro dan kontra, ada kelebihan dan kekurangan. Kampung atau bandar terpulang kepada citarasa empunya diri, yang penting bagaimana kita mengisi kehidupan itu. Namun, jika ditanya kepada saya, manakah pilihan hati? Maka dengan fasihnya saya menjawab, kampung!  Mengapa? "Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."

Balik semula kepada cerita mempelam muda tadi. Banyak pula mertua saya membawa mempelam muda hari ini. Tidak terlarat mahu makan ‘colek’, banyak sangat nanti boleh berulang ke tandas.

Nak buat apa ya? Rupa-rupanya mertua saya mempunyai ‘plan’ tersendiri. Ada sesuatu yang boleh dimanfaat dengan mempelam muda ini. Menjadi resepi masakan yang dimakan bersama nasi dan lauk-pauk yang lain. Saya perasan ketika sedang menikmati makan tengahari. Hairan saya melihat juadah yang satu ini. Nampak seperti hirisan isi buah mempelam yang digaul dengan kuah seperti kuah laksa putih.

“Apa ni, macam buah mempelam je.” Saya bertanya kepada isteri.

“Cubalah rasa, sedap...” Isteri saya menjawab sambil menceduk sedikit ke dalam pinggan tanpa memberikan jawapan kepada pertanyaan saya.

“Hmm..sedap juga, apa namanya?” saya bertanya buat kali kedua.

“Ohh..inilah ‘pecal’, dibuat daripada buah mempelam muda.” Sahut ibu mertua saya pula dengan loghat Terengganu.

“Pecal...?”

Tidak pernah saya mendengar namanya, malah inilah kali pertama saya mendengar dan merasai masakan yang dipanggil pecal itu. Mungkin ditempat lain dipanggil dengan nama yang berbeza.

Syukur dengan nikmat-Nya

Sesungguhnya makanan bagi orang yang beriman itu boleh mengingatkan kepada Allah SWT. Semua makanan enak dan sedap di hujung lidah. Tetapi yang paling penting ialah sentiasa bersyukur dengan apa yang dimakan. Pernahkah tatkala kita menyuapkan makanan kita sertakan dengan kesyukuran di atas nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT? Dengan kasih sayang-Nya diberikan kita berbagai-bagai rezeki yang kadang-kadang tidak pernah kita pinta di dalam doa.

Atau kita hanya pantas menyuapkan ke mulut tanpa berfikir siapakah yang memudahkan aku menyuapkan makanan ini. Bahkan, pernahkah kita terfikir siapakah yang memberikan rezeki dalam kehidupan ini dengan tanpa berkira-kira. Amat malanglah jika semua ini tidak pernah kita fikir dan rasai.

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Cara membuat pecal:

Mempelam muda dikupas dan di racik kecil-kecil. Kemudian dibasuh serta diramas-ramas untuk membuang air masamnya. Selepas itu isi mempelam tadi direndam dengan air garam dan sedikit kapur.


Bahan untuk kuah: 

Isi ikan kukus - ditumbuk
Lada hitam - ditumbuk
Bawang merah - ditumbuk
Bawang putih - ditumbuk
Santan pekat

Kesemua bahan yang telah ditumbuk tadi dicampur dengan santan pekat. Masukkan garam dan perasa secukup rasa. Kemudian kacau sehingga sebati. Toskan mempelam muda yang telah direndam tadi dan masukkan ke dalam bahan kuah. Gaul sehingga sebati. Siap dan sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba.

*Untuk mengelakknya cepat basi, pecal perlu disimpan di dalam peti ais kerana ia menggunakan santan mentah.

0 comments:

Post a Comment