Sahabat Sejati

Tuesday 10 December 2013

Maafkan saya

"Rumah di mana?" Saya bertanya kepadanya semasa kami sama-sama menyarungkan selipar seusai sembahyang isyak. Saya kira usianya dalam lingkungan 15 tahun.

Dia memandang kepada saya seraya menjawab pendek: "Lorong 5."

Lorong 5. Terbayang di mata saya akan kesukaran kepadanya melangkah kaki dari lorong 5 ke surau. Bagi orang biasa mungkin sesuatu yang tidak menjadi masalah.

"Abang pula tinggal di mana?" Dia menyoal saya pula. Beberapa orang jemaah berlalu mendahului kami.

"Oh...abang di lorong 2, dekat je." Saya membalas sambil menuding jari ke arah lorong berhadapan pagar surau. Agak sukar baginya menyarung selipar. Terkial-kial sambil tangan kanannya menupang pada dinding surau. Saya memerhati, terbit rasa kasihan.

"Baru lagikan tinggal di taman ni." saya bertanya lagi mengagak, cuba untuk bermesra.

Sejak tiga empat hari yang lalu dia sering sembahyang berjemaah di surau. Bukan hanya sembahyang maghrib dan isya', tetapi subuh pun ada. Sering berada di saf yang pertama. Sekali- sekala dia juga melaungkan azan.

"A'ah. Dulu saya tinggal dengan nenek, lepas nenek meninggal kakak bawa saya tinggal dengannya." Jawabnya sambil berlalu.

Jika dilihat dia seorang yang biasa sahaja, sama dengan orang lain. Tiada yang pelik dan istimewa, tetapi ada sesuatu yang dimilikinya yang amat menyentuh hati saya. Ketika mula-mula melihatnya, saya tidak perasan akan kecacatan pada kedua kakinya.

Petang itu ketika saya sedang bermotosikal untuk ke masjid. Sebenarnya saya menetapkan giliran sembahyang di surau taman dan masjid, bergantung kepada jadual kuliah keduanya. Malam ini adalah jadual kuliah bulanan Tuan Guru Mohd Baqi daripada Chenor. Terasa sayang jika tertinggal syarah kepada kitab ‘Manhaj Ilm al-Fiqh’ yang telah lama saya ikuti.

Ketika sampai disimpang keluar dari taman perumahan saya, di hadapan sebuah basikal yang terhoyong-hayang ke kiri dan kanan. Saya yang agak laju kerana kelewatan hampir-hampir melanggarnya, mujur sempat memberhentikan motosikal. Kalau tidak tentu sesuatu yang buruk berlaku.

“Maaf bang, maaf bang. Saya tak sengaja,” berkali-kali dia meminta maaf.

“Awak bawa basikal macam mana ni, mujur tak kena langgar tadi,” saya memarahinya. “Lain kali bawa basikal tu elok-elok sikit.”

“Baik bang, saya minta maaf bang,” ulangnya lagi.

Saya tergesa-gesa meneruskan perjalanan kerana azan maghrib sudah pun sayup-sayup berkumandang.

Selepas itu hampir setiap petang saya melihatnya melintasi hadapan rumah saya untuk ke surau. Dalam keadaan terhencot-hencot dia gagahi berjalan untuk ke surau. Dia mengalami kecacatan pada kakinya. Kedua kakinya bengkok dan nampak tempang tatkala melangkah. Barulah saya menyedari akan kecacatan yang dialaminya. Tiba-tiba perasaan menyesal mula menguasai diri kerana agak berkasar dengannya tempoh hari.

“Dah tak bawa basikal, mungkin kerana takut kena marah kut,” saya menduga nakal.

Saya bukan bermaksud untuk menceritakan kecacatannya, tetapi ada sesuatu pada dirinya yang amat mengkagumkan saya. Ya, kegigihannya ke surau untuk sama-sama sembahyang berjemaah menjadikan dia amat istimewa dan mengkagumkan saya. Saya rasa orang yang sempurna pun mungkin tidak sekuat itu semangatnya. Terhencot-hencot berjalan untuk sama berjemaah.

Tiba- tiba saya merasa malu sendiri. Kalaulah saya berada di tempatnya, mungkin saya tiada kekuatan seperti itu. Kalaulah saya mempunyai kecacatan sepertinya, mungkin sesal dan kesal seringkali terpacul dari mulut, lebih-lebih lagi apabila melihat orang yang sempurna. Atau mungkin saya sudah tidak ke surau seperti hari ini, memadai dengan alasan kecacatan yang dialami. Nak buat macam mana, darurat. Mudahnya mencari alasan.

Kisah sahabat


Saya teringat kisah seorang sahabat Nabi saw bernama Abdullah bin Mas’ud. Digelar sebagai Ahli Qiraat Kufah, yang merupakan seorang yang alim, faqih dan menjadi rujukan orang-orang di Kufah dan Iraq secara amnya. Beliau merupakan orang yang ke-6 masuk Islam.

Kisah beliau masuk Islam sangat menarik: Pada satu hari, sedang Abdullah bin Mas’ud mengembala kambing, datang Rasulullah saw bersama Saiyidina Abu Bakar yang cuba mengelak daripada kejaran kaum musyrikin. Oleh kerana mereka berjalan tanpa membawa bekal, maka ketika berjumpa Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah saw bertanya kepadanya jika boleh diberikan sedikit susu kambing?

Abdullah bin Mas’ud pun menjawab: “Saya ini diamanahkan menjaga kambing, dan bukannya pemilik kambing ini”.

Walaupun belum menjadi seorang Islam, Abdullah bin Mas’ud merupakan seorang yang amanah. Lalu baginda Rasulullah saw pun bertanya sekiranya ada kambing yg berusia setahun ke atas, yang masih belum mempunyai susu (kambing dara). Abdullah bin Mas’ud pun berkata ada dan dibawa kambing itu kepada Rasulullah saw. Baginda saw pun menepuk pada kambing lalu keluarlah susu dengan deras daripada kambing itu. Maka, terkejutlah Abdullah bin Mas’ud melihat kejadian itu.

Rasulullah saw dan Saiyidina. Abu Bakar pun minum dan diberi juga Abdullah bin Mas’ud meminumnya. Setelah puas meminumnya, Rasulullah saw pun mengarahkan agar susu kambing itu pun kembali kepada bentuk asalnya (yang tiada susu).

Setelah melihat apa yang berlaku, Abdullah bin Mas’ud berkata kepada Rasulullah saw: “Ajarkan kepadaku apa yang kamu baca tadi ketika menepuk kambing itu”. Lalu kata baginda Rasulullah saw: “Kamu itu sudah terpelajar”. Rasulullah saw merujuk kepada sifat amanahnya. Lalu Abdullah bin Mas’ud pun beriman dan memeluk Islam.

Abdullah bin Mas’ud agak rendah orangnya berbanding sahabat Nabi yang lain. Ali ra. berkata: Suatu ketika Nabi saw duduk bersama sahabat, dan Abdullah bin Mas’ud memanjat sebatang pokok, lalu kainnya dihembus angin sehingga ternampak betis beliau yang kecil. Sahabat pun secara tidak sengaja tertawa melihat kejadian itu.

Nabi saw pun bertanya, “Adakah kamu ketawa kerana kecilnya betis Abdullah bin Mas’ud?” Sahabat menjawab: “Na’am (Ya)”. Kemudian Rasulullah saw berkata: Sesungguh kaki Abdullah bin Mas’ud lebih berat timbangannya pada hari kiamat daripada gunung Uhud.” (Riwayat Ahmad, no. 922)

Kisah ini benar-benar menginsafkan. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengukur keimanan seseorang berdasarkan rupa fizikalnya sahaja.

Menjadi sahabat.


Sejak daripada hari saya menegurnya di surau, saya sentiasa menegurnya apabila bersua. Cuba untuk bermesra dan berbaik dengannya. Perasaan kasihan dan bersalah kerana memarahinya tempohari belum reda lagi. Walaupun mungkin ada rasional dan kebaikan saya memarahinya, namun saya agak terkasar sedikit.

“Mana basikalnya? Kenapa tak bawa?” Saya bertanya pada suatu petang.

“Ada kat rumah. Kadang-kadang bawa, kadang-kadang tak.” Katanya sambil tersenyum mesra.

Saya tidak membandingkannya dengan sahabat Nabi saw yang mulia itu, tetapi saya juga terfikir, mungkin kedua kakinya yang terhencot-hencot melangkah ke surau itu lebih berat pahalanya berbanding kami semua yang sempurna ini. Siapa tahu, semuanya di dalam rahsia Allah SWT.

Maafkan saya...

0 comments:

Post a Comment