Sahabat Sejati

Sunday 15 December 2013

Manisnya hidayah yang menyapa

'Pertemuan ketika menziarahinya di Perkim Kelantan 4 tahun yang lalu - sengaja saya kaburkan gambar'

“Taufiq?” (bukan nama sebenar) Saya menegur pemuda India yang berbaju melayu kuning dan berkopiah hitam. Janggut tebal menghiasi dagunya. Beliau ditemani seorang rakan melayu.

Dalam keadaan terpinga-pinga dia menyambut huluran tangan saya. Teman di sebelahnya juga menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Kamu belajar di Perkim Kelantankan?” Saya menyoalnya lagi.

“Err..ya, macamana abang tahu?” Dia menyoal saya pula. Masih kelihatan rona-rona terkejut di wajahnya. Saya tersenyum menenangkan anak muda di hadapan.

“Syukur kepada Allah, saya tak sangka dapat berjumpa kamu lagi. Jom ke sudut sana, banyak yang nak saya tanyakan kepada kamu.” Saya menarik beliau ke satu sudut surau. Tidak selesa berbual di depan pintu surau kerana menghalang jemaah yang mahu keluar. Beberapa orang ahli jemaah melewati kami seraya melemparkan senyuman.

“Sebenarnya saya ada bersama pada malam `melarikan` kamu empat tahun lepas.” Saya membuka cerita. “Oh, ye ke, abang masih ingat saya?”

“Alhamdulillah, saya masih mengingatinya dengan baik.”

Terimbau kisah


Bagaikan di hadapan mata peristiwa pada malam itu. Dia datang ke rumah sahabat saya, abang Majid (bukan nama sebenar) yang juga satu taman dengannya dalam keadaan cemas. Dia menceritakan yang keluarganya sedang mencari dan mahu `mengganyangnya` ekoran keputusannya mahu memeluk agama Islam.

Pada malam itu juga abang Majid `melarikan` pula dia ke taman perumahan saya. Sahabat setaman saya yang ketika itu masih bujang membenarkan Taufiq disembunyikan di rumahnya. Keesokan pagi setelah menghubungi seorang lagi sahabat di Kelantan, kami bergegas membawanya menuju ke negeri yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu. Alhamdulillah, dengan bantuan sahabat-sahabat di sana, Taufiq kami daftarkan di Perkim Kelantan untuk menjalani kehidupan sebagai saudara baru. Di Perkim Kelantan beliau memperolehi nama barunya ‘Taufiq’.

“Kamu mesti belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat mengajarkan kepada orang lain pula.” Pesan sahabat saya yang sama-sama menghantar beliau sebelum kami berangkat pulang.

Kisah pengislamannya unik. Dia tinggal di taman perumahan yang majoritinya adalah beragama Islam. Setiap hari pergaulannya berkisar dengan orang melayu. Rumah ibu bapanya juga berhampiran dengan masjid. Katanya setiap kali mendengar azan perasaan terusik. Jiwanya tersentuh dan menjadi sangat tenang. Segala keluh-kesah seolah-olah hilang begitu sahaja. Dia sentiasa menunggu-nunggu laungan azan dari bilal masjid.

Dari hari ke hari perasaan untuk mengetahui berkenaan agama Islam semakin mendalam. Tanpa pengetahuan keluarganya dia membeli beberapa buku pengetahuan Islam dan membacanya. Semua ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi kerana dia tahu apa akibatnya jika diketahui oleh keluarganya terutama abang iparnya yang amat garang.

Teringat pula saya kisah yang diceritakan oleh Ustaz Mohd Farhan al-Hafiz, sebelum memeluk Islam beliau digelar Paster Yohanes. Bagaimana dia diacukan senapang oleh ayahnya setelah mengetahui keIslamannya. Mujurlah ibunya sempat menepis senapang tersebut lalu meletup di udara. Ustaz Farhan, akhirnya dihalau keluar dari rumah.

 “Habis, sekarang ni kamu nak ke mana.?” Saya menyoalnya kembali.

“Sebenarnya saya nak menziarahi abang yang saya tidur di rumahnya dulu, tapi saya tengok orang lain yang tinggal di rumah itu. Malu juga lepas bagi salam, orang lain yang keluar.” Katanya sambil ketawa kecil.

Saya turut ketawa, lucu melihat dia bersungguh bercerita.

“Abang Nordin tu dah pindah dah. Dua tahun yang lalu. Dah kahwin pun dia, sekarang ada dua orang anak.” Saya memberitahu Taufiq.

“Oh begitu, nampaknya tak dapatlah saya nak berjumpa dengannya.” Taufiq menjawab perlahan.

“Tak apa jangan bimbang, nanti saya bagi nombor telefonnya. Tentu dia terkejut bila mendapat tahu keadaan kamu sekarang.” Saya menyambung lagi.

“Boleh saya tahu, bagaimana keadaan kamu sekarang Taufiq?” Saya berhasrat mahu mengetahui perkembangan hidupnya sekarang. Tentu banyak perbezaan yang dirasai setelah bergelar Muslim.

“Alhamdulillah bang, hidup saya sangat tenang dan teratur, saya sudah mampu bersembahyang dan membaca al-Quran.” Taufiq memberitahu. Saya melihat garis-garis ketenangan terpamer di wajahnya.

Saya tersenyum. “Kamu ingat tak apa jawapan kamu semasa kami bertanya keadaan kamu sewaktu menziarahi di Perkim dulu? Saya masih ingat lagi, kamu kata, susahlah bang nak baca quran. Lidah saya tak boleh sebut betul, ingat lagi?” “Tengok sekarang, kamu dah berjaya mengatasinya.” Saya menepuk-nepuk bahunya. Bangga dengan kesungguhan dan kecekalannya.

Manisnya hidayah


Kisah Taufiq serta kisah insan-insan yang mencari kebenaran benar-benar memberi keinsafan kepada saya. Sememangnya saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia amat bermanfaat untuk renungan dan muhasabah diri. Tidak lupa ia sebagai satu motivasi dalam kerja-kerja dakwah yang dilakukan.

Betapa beruntungnya kita yang dilahirkan di dalam Islam. Kita menerima Islam tanpa apa-apa dugaan dan kesusahan. Berbeza dengan mereka yang dilahirkan di luar agama Islam. Sungguh berat ujian yang diterima setelah menerima cahaya petunjuk agama ini. Sebab itu setelah mereka menerima Islam, mereka komited berpegang teguh dengannya. Tidak pelik jika kita melihat, kadang-kadang saudara baru ini lebih Islam daripada kita yang sedari lahir menganut Islam.

Benarlah ungkapan yang mengatakan, jika sesuatu itu didapati dengan mudah maka hilangnya juga amat mudah. Tetapi jika sesuatu itu diambil dengan keletihan dan kepayahan maka tentunya ia dijaga dengan sebaiknya.

Demikianlah juga kisah para sahabat di awal kedatangan Islam. Mereka diseksa oleh kafir Quraisy dengan berbagai-bagai seksaan. Namun, mereka tetap teguh mempertahankan aqidah tanpa goyah sedikit pun. Nama-nama seperti Bilal bin Rabah, Khabbab bin Arat, keluarga Yasir serta lain-lain yang terpahat dengan goresan emas di dalam tinta sejarah.

Pastinya kisah Taufiq tidaklah setanding dengan kisah para sahabat. Namun, kita boleh mengambil teladan. Sesuatu yang diterima dengan susah-payah dan pahit jerih maka untuk melepaskannya turut susah. Inilah yang menginsafkan saya.

“Keluarga kamu macamana, macam dulu lagi ke?” Saya bertanya lagi, kerana sedia maklum reaksi keluarganya setelah mengetahui dia mula menunjukkan minat kepada agama Islam.

“Alhamdulillah, mereka sudah boleh menerima saya. Walaupun dulu sampai tidak cukup tanah saya melarikan diri.” Katanya dengan ketawa kecil.

“Benar... Tunjukkan akhlaq yang baik kepada mereka. Jangan jadikan perbezaan agama sebagai penghalang untuk kita melakukan kebaikan kepada mereka.Mudah-mudahan dengan kebaikan yang kita tunjukkan dapat menarik mereka untuk sama-sama berada di dalam agama yang suci ini, Insya-Allah. Satu lagi jangan lupakan saya dalam doa kamu.” Saya mengakhiri perbualan sebelum kami berpisah.

Saya melangkah perlahan menuju ke kenderaan. Perasaan bercampur aduk antara gembira dan terharu. Tanpa sedar air mata saya mengalir. Terlalu mahal harga hidayah ini bagi mereka yang mencari dan menghargainya. Ya, hidayah perlu dicari. Sama ada dengan membaca, melihat atau mengkaji. Jika sekadar duduk bertindih lutut bagaimana hidayah akan diperolehi.

“Segala puji bagi-Mu ya Allah” saya mengangkat tangan menadah puji untuk-Nya.

Taufiq, Kembaramu dan kembara insan-insan sepertimu adalah kembara mencari makna dan tujuan sebuah kehidupan. Allah dengan sifat Penyayang mencampakkan keresahan ke dalam jiwamu. Demikianlah asbab yang memaksa agar kamu semua keluar dari sisi kehidupan yang gelap kepada kecerahan Iman. Akhirnya kamu berhasil menemukan ketenangan itu.

Benarlah ungkapan, resah yang disambut dengan pencarian… berakhir dengan sebuah damai yang lebih mahal harganya dari langit dan bumi serta segala isinya.

“Sesungguhnya telah datang kepada kalian cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan dan mengeluarkan mereka daripada gelap-gelita kepada cahaya terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (al-Maidah: 15-16) 

Alhamdulillah.

0 comments:

Post a Comment