Sahabat Sejati

Tuesday 18 March 2014

Alhamdulillah, hujan dah turun


Rumput di tepi jalan kering kekuningan, manakala tali air pula semakin menyusut alirannya. Itulah kesannya setelah hampir sebulan hujan tidak turun. Dek kerana cuaca yang panas terik ini, badan cepat merasa letih, peluh pula laju menitis manakala tekak merasa dahaga kehausan. Kalaulah dapat berendam di dalam sungai alangkah nikmatnya! 

Dalam masa yang sama bimbang pula dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang meminta rakyat Malaysia berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini. 

Katanya lagi, suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian. Takutnya... 

Dalam keadaan begini semua kita mengeluh, betapa tidak selesanya dengan cuaca panas. Ya, kita sudah tidak tertahan. Namun, tidak tergambar bagaimana pula teriknya di padang mahsyar nanti yang disebutkan jarak matahari cuma sejengkal di atas kepala. 

Betapa pula hebatnya bahang dan kepanasan api neraka, sehingga ada manusia yang tidak mahu menjadi manusia kerana gerunnya dengan kehebatan api neraka yang menjulang. Dengan perasaan takut dan menyesal mereka berkata sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran:

“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".” (an-Naba’: 40) 

Demikianlah penyesalan yang tiada berguna. Semuanya telah menjadi bubur. Maka bersedialah untuk merasai azab yang pedih tidak terperi itu. 

Alhamdulillah, hari ini hujan turun mencurah-curah dari langit Ilahi. Meredakan panas yang membahang, menghilangkan juga resah dan gelisah penghuni alam. 

Teringat sebuah hadis Rasulullah saw, diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar ra. yang bermaksud; Berkata Ibnu Umar: “Ketika saya bersama sepuluh sahabat daripada muhajirin di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba Rasulullah saw berpaling kepada kami dan berkata, “Menegah sesuatu kaum daripada mengeluarkan zakat bererti menegah langit daripada menurunkan hujannya. Kalaulah tidak kerana binatang yang tidak berdosa dan hidup melata di bumi, tentulah hujan tidak akan turun (sehinggalah mereka mengeluarkan zakat harta mereka).” 

Marilah kita semua menginsafi diri. Perbanyakkanlah memohon keampunan-Nya. Mudah-mudahan cuaca panas yang Allah SWT turunkan ini bukanlah satu kemurkaan disebabkan dosa-dosa yang telah kita lakukan, tetapi biarlah ia menjadi secebis peringatan kerana kasih sayang-Nya. Sebagaimana Allah SWT menyatakan tiada satu pun kejadian-Nya yang sia-sia melainkan ada manfaat buat seisi penghuni alam.

0 comments:

Post a Comment