Sahabat Sejati

Tuesday 10 November 2015

Bahasa Arab, semakin jauh aku ditinggalkan...

“Anta ada masa ‘free’ tak, malam? Nak minta tolong mengajar kelas bahasa arab, boleh?” 

“Kelas dewasa...” 

Pesanan yang saya terima daripada seorang sahabat melalui aplikasi whatsapp. 

Lama sungguh saya tidak beri`rab. Maksud ‘lama’ itu, bukannya tiada langsung tetapi jarang sangat-sangat setelah berada di alam pekerjaan. Jika ada pun cuma sekali-sekala apabila bertemu sahabat-sahabat yang ‘reti’ bahasa arab. Bolehlah ber`ana - anta` seketika, mengingatkan kembali apa yang pernah dipelajari.

 'Matan Ajrumiah, kita asas bahasa arab, masih dalam keadaan baik di dalam simpanan. Sangat besar manfaatnya, tidak setanding dengan harganya yang sangat murah'

Sekarang ini pun sudah banyak bilah kalimah yang kian ‘terdelete’ daripada peti minda. Benarlah kata syair arab: “Bahasa itu hidup. Jika kamu tinggalkan ia, maka ia akan tinggalkan kamu.” Saya bagaikan merasai kesannya. Ya, sedikit demi sedikit saya jauh ditinggalkannya. Justeru, saya cuba juga membelek buku-buku yang pernah digunakan ketika zaman belajar dulu, ataupun sesekali melayari laman sesawang berbahasa arab. Semua itu agar tidak semakin jauh ditinggalkan, sekurang-kurangnya. 

Teringat pula pengalaman pertama mengajar bahasa arab. Ketika itu masih menetap di kampung, baru habis belajar, kerja pun tiada lagi. Lalu, apabila diminta oleh abang-abang dan pakcik-pakcik untuk mengajar di surau kecil berhampiran rumah pusaka almarhum ayahanda, tanpa berbasa-basi saya memberi persetujuan. Walaupun pada mulaya terbit juga debaran, "boleh ke aku mengajar ni?" Namun, saya mengambil fikiran positif, cari pengalaman, sekurang-kurangnya terisi juga masa sambil-sambil mengintai peluang pekerjaan. 

Kelas yang saya kendalikan itu dalam dua sesi, iaitu kelas dewasa dan kelas budak-budak. Bukan mengajar bahasa arab tinggi pun cuma kelas asas sahaja. Mudah perkataan, bahasa arab peringkat darjah satu. Yalah, saya pun bukannya MAHIR sangat dalam ertikata yang sebenar. Jangan kata saya mahu mengangkat diri dengan coretan ini, “Aku pandai bahasa arab”. Jangan, bukan begitu! Bimbang benar jika ia disalah erti. 

“Jika kita pandai ada lagi yang lebih pandai, jika kita hebat ada lagi yang lebih hebat.” Apa jua keadaan begitulah sifirnya, saya sentiasa mengingat diri. Coretan ini, begitu juga yang telah ada di dalam blog ini hanyalah sebagai perkongsian pengalaman dan untuk tatapan saya pada hari-hari hadapan. 

Balik semula, semua yang datang belajar langsung tiada asas bahasa arab. Baik kelas dewasa, maupun kelas kanak-kanak. Jadi, wajarlah saya katakan ia kelas darjah satu. Sukar juga, terutama kelas dewasa. Maklumlah, masing-masing umur sudah lanjut, ingatan pun semakin berkurang. Tetapi ada positifnya iaitu keseronokan. Sekurang-kurangnya ia sebagai latihan menguji kesabaran saya sebelum berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar pada masa hadapan. Dan yang paling utama sebagai ‘refresh’ kepada apa yang saya telah belajar. Maknanya, dalam mengajar saya turut belajar. Melihat mereka bersemangat saya tambah semangat. Mereka tambah semangat, saya tambah-tambah semangat. 

Zaman mengaji dulu-dulu 

Tersenyum saya tatkala merista zaman itu. 

Kalau masa belajar dulu, boleh dikatakan bahasa arab menjadi seperti makanan ataupun pakaian. Setiap hari tidak sah jika bibir tidak melantunkan kalimah arab. Ketika itu semua orang berlumba-lumba mahu menguasainya. Jadi, setiap orang akan menggunakan apa sahaja cara untuk menghafal qawa`id. Sampai ‘herot-merot’ mulut menghafal nahu dan sorof. Termasuk juga ma`ani, bayan dan badek di dalam ilmu balaghah. Bangga dan gembira sangat apabila berjaya menguasai satu-satu qa`edah. 

Di dalam kelas matapelajaran Bahasa Arab, memang sudah menjadi kewajipan untuk bertutur dengannya. Itu sudah semestinya. Apa sahaja kena berbahasa arab. Tengok buku tidak nampak buku tetapi nampak kitab. Tengok pen nampak qalam, tengok papan hitam nampak sabburah. Pendekata, sudah macam orang arab (perasan), cuma kulit sahaja tidak berapa nak cerah dengan hidung yang penyek dan pesek. 


“Maafkan saya wahai ustaz. Saya mahu pergi ke bilik air.” 

Tergeliat lidah mahu menuturkannya. Bukan senang mahu menyusun bilah-bilah perkataan. 

"Mengapakah kamu mahu ke bilik air?"
 
Aduh, Ustaz Zaman bertanya mengapa saya mahu ke bilik air. Takkanlah saya mahu ke bilik air untuk membaca surat khabar atau pun sekadar pergi bersiar-siar. Tentulah kerana sebab yang sudah sedia maklum. 

“Kerana sesungguhnya saya mahu pergi menunaikan hajat.” 

 “Silakan.”

Alhamdulillah, lega. Mujur tidak berterusan soal jawab. 

Kamus yang pernah diguna

Kamus pula merupakan satu benda yang wajib ada. Sekiranya tiada, maka akan terencatlah sesi pengajian. Dengan adanya kamus, maka dapatlah mengetahui makna perkataan untuk menambah perbendaharaan kata. Masih saya ingati, kamus yang saya gunakan dulu adalah kamus al-Marbawi karangan Tuan Guru Syeikh Idris al-Marbawi rahimahullah. Masa itu, memiliki kamus al-Marbawi terasa ‘hebatlah’. Kamus-lah yang hebat, tuan punya kamus (saya) belum tentu lagi. Kamus al-Marbawi turut digunakan oleh para penuntut di al-Azhar. Mungkin hebatnya letak disitu. Wallahua`lam. 

 'Kamus al-Marbawi'

Kamus al-Marbawi milik saya berkulit tebal dengan warna hijau yang menyerlahkan. Selain itu, ada banyak yang selain daripada warna tersebut. Tetapi saya membeli yang berwarna hijau. Mengapa? Entahlah, sejuk mata memandang barangkali. 

'Kamus Arab - Indonesia'

Manakala kamus yang tidak kurang hebatnya yang turut saya miliki ialah kamus Arab-Indonesia karangan Prof. Mahmud Yunus rahimahullah. Berkulit nipis warna kuning yang menyerlahkan. Kertasnya sama seperti kertas kitab lama atau lebih dikenali dengan kitab kuning. Kertas mudah terkoyak jika tidak berhati-hati membelek helaiannya. 

Kedua-dua kamus tersebut masih saya simpan dengan baik. Cuma kamus yang disusun oleh Prof. Mahmud Yunus sudah banyak helaian yang berlubang ditebuk bubuk buku, namun dalam kondisi yang masih boleh dibaca. Allahu rabbi, besar sungguh jasa kedua-dua kamus tersebut kepada saya di sepanjang tempoh belajar bahasa arab. Semoga Allah merahmati kedua-dua pengarangnya. Selain daripada itu ada beberapa lagi kamus yang saya beli, antaranya Kamus Jamak Taksir susunan Ustaz Abu Zar.

Hari ini bermacam-macam kamus yang terdapat di toko buku. Ada kamus al-Khalil, kamus al-Farid, kamus al-Munawwir dan sebagainya. Tetapi saya rasa isi kandungannya lebih kurang sama, jika berbeza pun dalam peratus yang amat sedikit. 

Seingat saya, dulu belajar apa yang ada di dalam buku sekolah.Tidak banyak sumber tambahan yang lain. Oleh kerana itu sahaja sumber-sumber pembelajaran yang ada, maka sudah semesti ia dijaga dengan baik. Tetapi akhirnya lunyai juga. Yalah, hari-hari membeleknya. Tetapi ada juga buku-buku yang masih dalam keadaan baik sehingga sekarang. 

Zaman ini pula, saya melihat tidak terlalu sukar untuk belajar bahasa arab. Banyak sumber yang boleh didapati. Pusat-pusat tuisyen bahasa arab tumbuh di merata-rata. Pilih sahaja mahu kelas dewasa, kelas remaja, kelas kanak-kanak dan sebagainya. Selain daripada itu, bahan-bahan bacaan berbahasa arab termasuk buku-buku belajar bahasa arab pun banyak. Kunjungilah toko-toko buku, anda pasti menemuinya. Pilih sahaja yang mana satu idaman kalbu. 

Begitu juga di dalam internet, melalui youtube, laman web dan page group FB, pun boleh belajar. Bahkan sekarang ini ada juga whatsapp group belajar bahasa arab. Canggih! Semua itu menjadi wasilah untuk meneroka dan mempelajari bahasa arab biarpun tidak berapa lengkap dan sempurna berbanding kita berdepan dengan guru. Sekurang-kurangnya ada juga usaha dan ikhtiar untuk memahami bahasa rasulullah saw ini. Tunggu mahu atau tidak mahu sahaja. 

'Al-Lughatul `Arabiyah Li As-sanah Al-Rabi`ah - Hadiah daripada seseorang yang bergelar abang senior'

Ayuh sahabat-sahabat, pelajarilah bahasa arab jika ada ruang dan peluang. Saya sendiri secara peribadi pun mahu belajar lagi untuk memperkemas mana-mana yang longgar. Tidak rugi! Insya-Allah kita akan merasa kelainan sekiranya dapat memahami bahasa arab biarpun sedikit. Tentunya apabila bersembahyang, membaca al-quran dan sebagainya, kita akan lebih terisi dan menjiwai kerana memahami apa yang dibaca. Sekurang-kurangnya jika tidak memahami sepenuhnya ayat yang dibaca, kita tahu apa yang mahu disampaikan oleh ayat tersebut. 

Tiba-tiba rindu zaman belajar dulu... 

Eh, saya belum memberikan jawapan kepada pertanyaan sahabat saya tadi. 

Bagaimana ya? 

“Insya-Allah, tengok jadual dulu...” Saya membalas.

1 comments:

Fida Z Ein said...

Bahasa Arab....sudah lama tak bertutur dalam bahasa Al Quran ni....harap baca Al Quran dan solat saja....

Post a Comment