Sahabat Sejati

Monday 16 November 2015

Singgah sebentar di Muzium Kemaman


“Ok, dah sampai. Inilah muzium Kemaman.” Saya memberitahu isteri di sebelah. Jari telunjuk dihalakan ke arah bangunan yang bersenibina lama itu. Catnya yang putih membezakan di antara bangunan lain di situ. 

“Jom, alang-alang sampai baik kita singgah.” Saya menggamit isteri sambil memimpin ‘si kecil Haikal yang istimewa’ menaiki anak tangga.

Hari ini (Sabtu) saya bersama isteri dan juga si kecil Haikal bermusafir ke Kemaman. Tetapi bukanlah saya ke sana semata-mata mahu melawat Muzium Kemaman. Asalnya kami mahu menziarahi angah Salina di sekolahnya, Pusat Pengajian Taman Islam Kemaman. Sekarang ini dia sedang menduduki peperiksaan akhir peringkat `Edadie, dan akan menyambung di peringkat Thanawi sekiranya lulus. Sehubungan itu, saya mengajak keluarga ke sana, boleh juga memberi semangat dan motivasi kepadanya untuk menghadapi medan tempur tersebut. 

Dalam perjalanan pulang itulah kami singgah di muzium tersebut. Yalah, alang-alang sudah lalu di hadapan bangunan tersebut, rugi pula kalau tidak singgah. Muzium Kemaman ini terletak di tengah bandar Chukai dan berhadapan dengan Dataran Medan Selera Bandar Chukai. 

Bangunan dua tingkat itu asalnya bekas ibu pejabat bijih besi The Nanyo Kogyo Koshi Company yang menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di Macang Setahun, Kemaman. Ia dibina pada tahun 1920-an. Senibina bangunan konkrit ini merupakan gabungan senibina Inggeris dan senibina Islam sehingga menghasilkan satu bentuk senibina ala Moorish.

Kemudiannya ia dibeli oleh Malayan Banking dan sekaligus berfungsi sebagai sebuah bank. Pada tahun 2008, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Terengganu daripada Majlis Perbandaran Kemaman dan diserahkan kepada pihak Muzium Negeri Terengganu pada 5 Mac 2009 untuk dimajukan sebagai sebuah muzium daerah dan sekaligus sebagai satu destinasi pelancongan baru ke daerah paling selatan negeri Terengganu, iaitu daerah Kemaman. 

Pada 15 oktober 2009, kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini telah dilakukan oleh dua buah syarikat yang di lantik oleh pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Kemaman. Muzium ini mula dibuka kepada orang ramai pada Julai 2012 yang lalu yang mempamerkan gambar tokoh-tokoh ternama di negeri ini.

Sebahagian bahan pameran










Muzium Daerah Kemaman, 
Lot 132, Jalan Sulaimani, 
24000, Kemaman, Terengganu Darul Iman. 
Lokasi adalah berhadapan Dataran Medan Selera Bandar Chukai 

Waktu Operasi:
Sabtu - Khamis 9.00 am - 5.00 pm 
Jumaat - tutup 
Kelepasan Am - 9.00 am - 5.00 pm 
Hari Raya Puasa / Haji Ditutup pada Hari Raya 1 & 2

Moh, singgah sebentar sekiranya anda datang ke Kemaman!

2 comments:

iryantyismail said...

assalamualaikum saudara...erm dah lama tak masuk muzium :-))

paridah said...

assalam...dulu2 mmg suka ke muzium melihat apa yg dipamer n membaca sejarahnya...kak mmg minat bab2 sejarah ni..

Post a Comment