Sahabat Sejati

Thursday 31 December 2015

Cetusan rasa: 2015 yang melambai pergi (setahun umur telah berkurang)

 'foto hiasan'

Tersenyum saya tatkala menatap gambar-gambar lama yang tersusun kemas di dalam album. Zaman kanak-kanak, zaman remaja meniti dewasa, terakam kemas di helaian kertas tersebut. Di antara gambar tersebut ada yang telah kuning kemerahan, pudar dimamah perjalanan waktu. Tidak semena-mena saya terasa diruntun. Ada sedikit perasaan yang tercuit apabila diajak semula berada di setiap peristiwa yang terakam. Setiap satunya ada kenangan yang tersisa, terpahat kemas diingatan. 

Saya sudah pun melewati perjalanan hidup sehingga ke hari ini. Hari semalam sudah pun berlalu menjadi denai sejarah yang semakin jauh ditinggalkan. Yang masih berbekas hanyalah ingatan yang sesekali menjengah, menampar lamunan. Namun, ia juga tidak kekal tersimpan di peti minda. Bahkan kian hari semakin pudar dek berlalunya masa dan seiring pertambahan usia. Demikianlah lemahnya yang bernama manusia. 

Hari esok, belum pasti bagaimana coraknya di atas kanvas kehidupan. Setiap dari kita hanya mampu melakar. Kesudahan sebuah lukisan hidup sudah tentu di dalam genggaman-Nya. Kita hanya dapat menitip untaian doa, semoga esok yang mendatang sentiasa damai dan bahagia. 

Seringkali saya berbisik kepada diri sendiri. Andainya masa mampu diundurkan, sudah tentu saya mahu kembali ke zaman itu. Pulang ke masa silam, meneroka kembali nostalgia yang pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Justeru, saya mahu membetulkan kembali kepincangan yang dilakukan. Mengapa? Agar sentiasa yang terbaik dapat dipersembahkan kepada Tuhan yang Maha Pencipta. 

Iradat Tuhan tidak mungkin diubah. Segala-galanya telah tertulis pada pahatan taqdir. Oleh itu, tidak sekali-kali saya menyesali potret kehidupan sekarang, apatah lagi mahu menyalahkan Dia. Terikat kemas di relung sukma, setiap yang berlaku adalah yang terbaik menurut ketentuan-Nya. Biarpun hati merasa gusar dan cuak, namun itulah kemanisan yang pasti diteguk tatkala tiba saatnya. 

“...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216) 

Untaian mutiara kalimah suci ini saya genggam seeratnya supaya tiada gundah gulana. Walaupun ada sesuatu yang menghimpit lalu menundukkan keegoan, semuanya adalah ibrah untuk dimuhasabah. Tidak perlu menangisi kecacatan yang berlaku. Langkah kaki perlu diteruskan. Tiba masa yang telah dijanjikan, kita semua akan berangkat pulang meninggalkan dunia ini. Sebagaimana mereka yang telah mendahului, kita jua begitu... 

3 comments:

paridah said...

Assalam...kenangan silam ada yg pahit ada yg manis...yg ingin diulangi merasainya tentu yg manis2 saja kan...yg pahit bagai kesilapan yg perlu dibaiki SELAMAT TAHUN BARU 2016 moga dlm usia dewasa tiada lagi salah silap yg kita lakukan...kdg tanpa sedar alpa juga.

Nazihah@Jiha said...

Selamat Tahun Baru :)

iryantyismail said...

assalamualaikum saudara...selamat tahun baru
:-))

Post a Comment