Sahabat Sejati

Sunday 31 January 2016

Ada orang yang mendakwa dirinya sebagai Wali Allah, bolehkah kita mempercayainya?

Soalan:

Ada orang yang saya kenali dia, mendakwa dia adalah wali Allah, mengajar ilmu-ilmu agama dengan menggunakan taraf dirinya sebagai wali Allah. Bolehkah dipercayai bahawa dia adalah wali Allah? 

Jawapan:

Memang mudah untuk lidah menuturkan perkataan 'saya adalah waliullah', hakikatnnya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Waliullah adalah orang-orang yang paling patuh dan taat kepada Allah, antara sifat-sifat asasi kepatuhan kepada Allah ialah mereka yang bersifat amat tawaaduk, iaitu merendah diri dalam semua keadaan, tidak riak (tidak menunjuk-nunjukkan amal), jauh sekali mendabik dada dengan pelbagai dakwaan kelebihan yang ada pada dirinya. 

Para wali amat menjauhi sifat takbur atau sifat meninggi diri. Ianya merupakan sifat yang tercela yang sememangnya tidak patut ada pada orang biasa, apatah lagi kepada orang yang berpengetahuan agama atau mereka yang hampir dengan Allah SWT. 

Sifat takabur, besar diri atau pun mendabik dada, adalah sifat iblis laknatullah. Dengan takaburnya iblis kerana enggan tunduk kepada Adam a.s atas alasan Adam dijadikan daripada tanah dan iblis dijadikan daripada api. 

Kononnya api lebih mulia daripada tanah, bagaimana mungkin yang mulia tunduk kepada yang hina. Iblis enggan patuh kepada Adam sehingga menentang arahan Allah sehingga iblis dikutuk dan akan dihumban ke dalam api neraka pada Hari Kiamat nanti. 

Firman Allah (mafhumnya): "Keluarlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut kamu berlaku sombong di dalamnya (terhadap Adam), oleh sebab itu keluarlah engkau, sesungguhnya engkau termasuk dari golongan yang hina." (al-A'raf, ayat 13) 

Kerana takburlah maka iblis dihumban daripada dalam syurga dan dilaknati Allah hingga ke Hari Kiamat. 

Dalam sebuah hadis Rasullah saw bersabda (mafhumnya): "Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya sebesar zarrah dari takbur." 

Dalam hadis Qudsi, Allah berfirman (mafhumnya): "Takbur itu pakaian Aku (ia layak bagi Aku), maka sesiapa dari makhluk-Ku yang memakai pakaian ini (takbur), maka akan Ku humban dia dalam neraka-Ku." 

Tidak pernah saya berjumpa sebarang sejarah Islam seorang wali Allah yang sebenar mendabik dada atau mengaku dia adalah wali Allah. 

Dalam banyak-banyak wali Allah, mereka menyisih diri daripada masyarakat kerana mereka takut dikenali sebagai wali, mereka tawaduk sepanjang waktu, tidak bercakap banyak, lebih-lebih lagi yang tidak perlu kerana takut tersalah. 

Sifat mereka yang zuhud dalam semua hal, jauh sekali bermewah-mewah, tidak meminta dari makhluk dan jauh sekali dari mengenakan bayaran pada insan yang menggunakan khidmat mereka. Kalau pun berlaku yang sedemikian, tidak mereka ambil apa yang diberikan kepada mereka melainkan untuk keperluan yang amat sungguh. 

Apabila berlaku dalam masyarakat kita orang yang mengaku dirinya menjadi wali, akan timbul persoalan tidakkah itu melambangkan suatu istilah mengagungkan diri atau menamakan diri sendiri yang belum diuji atau tidak diketahui hakikatnya yang sebenar. 

Lebih-lebih lagi ada sesetengah pihak mengaitkan dengan bayaran sebagai khidmat ilmu kewaliannya. Mungkin ada permasalahan yang timbul daripada pengakuan yang sebegini. 

Jika betul dia wali Allah yang sebenar, maka biarlah Allah SWT sahaja yang menentukan dianya wali atau pun tidak. 

Mengenai pengakuannya sebagai wali, maka lihatlah dulu amalan-amalan zahiriahnya, kalau ada perkara yang berlawanan dengan syarak atau hukum-hukum yang sedia diketahui umum bercanggah dengan kehendak Allah SWT, maka ertinya dia bukannya mudah hendak digelar sebagai wali. 

Mengisytiharkan diri sebagai wali, maka sebenarnya dia ingin menunjukkan dan dikenali manusia sebagai wali. Kalau ini berlaku ia adalah riak. Riak bukan sifat wali. Wallaha'lam.

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Friday 29 January 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 54

Salam Jumaat.


"Aku tidak akan menghukum seseorang berdasarkan sejarah lampaunya...
(kerana)
Sejarah berlian adalah arang batu."

Wednesday 27 January 2016

Innalillah...semoga sahabat bersabar

Innalillah...

Mengurut dada saya, terkejut dan kasihan mendengar berita yang menimpa sahabat saya pagi tadi. Khabarnya, kenderaan miliknya telah dipecahkan dan wang yang tersimpan di dalamnya turut lesap. Bukan sedikit jumlah wang yang telah dilarikan, ribu-ribu juga katanya. Apa yang sedihnya duit tersebut bukan milik sahabat saya, tetapi milik sekolahnya iaitu Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi dan juga sekolah PASTI.

Apa boleh buat, sudah kehendak taqdir. Alhamdulillah, sahabat saya itu kelihatan tenang dan dapat menerimanya dengan hati yang redha. Tentu ada hikmah dan kebaikan disebalik kejadian tersebut. Apa pun sahabat saya sudah pun membuat laporan ke pihak berkuasa dan menyerahkan kepada mereka untuk membuat siasatan. Kalau ada rezeki, insya-Allah...

Rasa pelik jika masih ada yang terbuai dengan kata-kata, "Malaysia masih aman". Macamana amannya tu? Simpan wang di rumah, nanti rumah kena rompak, letak dalam kereta, kereta kena pecah. Nak bawa bersama, kena samun pula nanti. Dalam kes sahabat saya itu, wang baru sahaja dikeluarkan daripada bank. Mungkin sudah ada yang 'duk' perhati dan mengekori keretanya. Maka terjadilah apa yang telah terjadi.

Saya beranggapan undang-undang yang ada sekarang sudah tidak mampu untuk membendung perlakuan jenayah di dalam negara kita. Lihatlah, semakin dikuatkuasa, semakin banyak jenayah yang berlaku. Kadang-kadang pelik melihat apa yang berlaku, tidak terjangkau dalam kotak pemikiran kita. Seumpama penjenayah langsung tidak merasa gerun dan takut dengan hukuman yang dikenakan.

foto hiasan (sumber kartunis ART SAAD)

Tambah pula penjenayah sekarang ini semacam 'dilindungi'. Maksud saya seperti apa yang telah berlaku di Terengganu tempohari. Saya kira semua sudah maklum kronologi kes tersebut. Apabila tuan rumah bertindak melindungi harta dan keluarganya daripada perompak yang masuk ke rumahnya, menyebabkan perompak tersebut mati. Akhirnya tuan rumah didakwa kerana menyebabkan kematian perompak yang mahu merompak rumahnya. Pening kepala saya memikirkannya.

Nak buat macamana?

Bukalah Kitabullah dan Hadis Rasul yang sahih, pasti ketemu jawapannya. Bagi saya dengan yakinnya, tidak lain HUDUD adalah jalan penyelesaian. Allah SWT yang menjadikan manusia, malahan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik baginya. Dia yang mengetahui apakah yang dapat menimbulkan kegerunan ke dalam hati-hati manusia. Yakinlah, hudud adalah jawapan kepada perlakuan jenayah hari ini. 

Sesetengah orang melihat hudud pada potong tangan sahaja, sedangkan ia lebih daripada itu. Ada pula yang katanya kasihan kepada yang kena potong tangan. Simpati tidak kena dengan tempat. Habis yang kena curi, kena rompak pula bagaimana, tidak kasihan? Jangan kita tengok pada potong tangan, tetapi tengok akibat selepas potong tangan. Malahan, yang kena potong tangan cuma yang bersalah sahaja, hasilnya masyarakat jadi takut untuk melakukan sesuatu jenayah. Akhirnya negara jadi aman, rakyat hidup dalam keadaan selamat. Tidak kurang pula segelintir yang apabila mendengar kalimah hudud, maka katanya itu politik. Hmm, hudud dikatakan politik. Entahlah...

Apa pun marilah kita semua kembali kepada hukum Allah SWT yang terbukti dapat mencegah barah jenayah. Allah SWT sendiri menyebut hudud sebagai satu pencegahan. Kepada siapa lagi kita mahu percaya jika tidak kepada Allah SWT, selaku pencipta kepada manusia. 

Kepada sahabat saya, Ustaz Ruhazan, semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kesabaran di atas musibah yang berlaku. Mudah-mudahan Allah SWT menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kepada si pencuri tersebut, semoga diberikan hidayah dan bertaubat di atas perbuatan dosanya, dan Allah SWT membuka pintu hati untuk memulangkan semula wang yang telah diambil. Sesungguhnya ia adalah infaq orang ramai untuk kegunaan pihak sekolah. 

Allahu al-Musta`an.

Monday 25 January 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (3)

Sambungan daripada: solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (2)

 foto hiasan: sumber

2. Abdul Mutalib

Telah kita ketahui bahawa tugas siqayah dan rifadah selepas Hasyim meninggal, beralih ke tangan saudaranya, Mutalib bin Abd Manaf. Mutalib ialah seorang yang disegani, ditaati dan memiliki kedudukan terhormat dalam kalangan kaumnya. Lantaran kemurahan hati Mutalib, orang Quraisy memberi gelaran al-fayyadh (orang yang kebaikannya melimpah).

Ketika Syaibah (Abdul Mutalib) telah mencapai di usia kanak-kanak atau lebih sedikit, Mutalib mendengar khabar tentang kedudukan Syaibah. Segera Mutalib menempuh perjalanan untuk mencarinya dan setelah bertemu, Mutalib tidak mampu menahan linangan air mata, dia merangkul Syaibah erat-erat dan menaikkan anak itu ke atas untanya.

Namun begitu, Syaibah menolak untuk mengikuti Mutalib kecuali ibunya mengizinkan. Maka Mutalib memohon kepada Salma agar Syaibah diizinkan ke Mekah bersamanya. Salma keberatan.

Mutalib cuba meyakinkan Salma dengan berkata, "Sebenarnya anakmu ke Mekah untuk mengambil kembali kuasa yang dulu dipegang oleh ayahnya dan tinggal di tanah yang disucikan Allah." Mendengar jawapan itu, dengan rasa berat, Salma akhirnya mengizinkan Syaibah pergi. Kembalilah Mutalib ke Mekah bersama Syaibah dengan mengenderai untanya.

Melihatnya, orang menduga dan berkata, "Anak itu ialah Abdul Mutalib (hamba kepada Mutalib)." Mendengarnya, Mutalib spontan berkata, "Kamu sangat teruk! Ini adalah anak kepada saudaraku, Hasyim."

Syaibah kemudian tinggal bersama Mutalib sehingga dewasa. Kemudian Mutalib meninggal dunia di Radman (sebuah wilayah di Yaman) sehingga tanggungjawab menguruskan siqayah dan rifadah beralih pula ke tangan Sayaibah.   

Syaibah menjalankan tugas di tengah kaumnya seperti yang selama ini dijalankan oleh bapa-bapanya. Dia mendapat kehormatan melebihi apa yang pernah dicapai oleh bapa-bapanya. Dia memperolehi kecintaan yang teramat dalam dan penghargaan yang tinggi daripada kaumnya.(1)

Namun begitu, ketika Mutalib meninggal dunia, tanggungjawab yang semestinya berpindah ke tangan Abdul Mutalib (Syaibah) itu sempat dirampas oleh Naufal (bapa saudaranya sendiri). Lantaran itulah Abdul Mutalib tidak suka kepada Naufal. Dia meminta bantuan kepada orang-orang Quraisy untuk menghadapi bapa saudaranya. Orang Quraisy mengatakan, "Kami tidak ingin terlibat dalam urusan antara kamu dan bapa saudaramu." Maka dia menulis beberapa bait syair yang ditujukan kepada bapa-bapa saudaranya daripada pihak ibu iaitu daripada Bani Najjar, yang isinya meminta bantuan pasukan daripada mereka.

Bapa saudaranya, Abu Saad bin Ady, menyambut permintaannya itu dengan membawa 80 askar berkuda. Setelah tiba di Abthah (salah satu wilayah Mekah), mereka mendirikan khemah di sana. Sewaktu sedang berehat mengumpulkan tenaga, Abu Saad bin Ady beremu dengan Abdul Mutalib lalu mempelawa singgah di rumahnya, "Mari singgah dahulu di rumahku, bapa saudaraku." Abu Saad menjawab, "Tidak anakku! Demi Allah, aku tidak akan singgah ke mana-mana pun sebelum berhadapan dengan Naufal."

Lalu Abu Saad mencari Naufal dan menemuinya sedang duduk-duduk di Hijr (bayangan Kaabah yang terbentuk di tanah sehingga teduh) bersama para pemimpin Quraisy. Tanpa membuang masa, Abu Saad terus menghunus pedangnya. 

Dia berkata kepada Naufal, "Demi Tuhan Pemilik Kaabah! Jika kamu tidak mengembalikan pemerintahan anak saudaraku kepadanya, akan kulibas pedang ini ke lehermu!" Naufal berasa gementar lantas berkata, "Kukembalikan pemerintahan ini kepadanya." Para pembesar Quraisy yang ada di tempat itu pun menjadi saksi berdasarkan apa yang Naufal sebutkan.

Selepas itu Abu Saad singgah di rumah Abdul Mutalib dan menginap di sana selama tiga hari. Seterusnya dia melaksanakan umrah, lalu pulang ke Madinah. Selepas kejadian itu, Naufal berpakat dengan Bani Abd Syams bin Abd Manaf untuk menghadapi Bani Hasyim. Sementara di pihak lain pula, setelah mereka melihat bantuan daripada Bani Najjar kepada Abdul Mutalib, maka Bani Khuzaah menjelaskan, "Kami melahirkannya (Abdul Mutalib) seperti kamu melahirkannya (ibu Abd Manaf berasal daripada Bani Khuzaah). Maka kamilah yang sepatutnya berada di barisan paling hadapan membantunya."

Bani Khuzaah bergerak menuju ke Darul Nadwah dan berpakat dengan Bani Hasyim untuk memerangi Bani Abd Syams dan Naufal. Perkara inilah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab terjadinya Fathul Mekah yang akan diterangkan nanti.(2) Ada dua kejadian yang paling penting semasa Abdul Mutalib memegang amanah menguruskan Baitullah. Iaitu penggalian telaga zamzam dan Peristiwa Gajah.(3)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 137-138

(2) Muhammad bin Abdul Wahab al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 41-42

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 142-147

(Adaptasi daripada ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung... 

Sunday 24 January 2016

Rindu tidak pudar seiring usia, bahkan semakin menebal...

 foto hiasan: 'si kecil Haikal yang istimewa' pun sunyi
Sunyi.

Pelik benar apa yang saya rasakan kebelakangan ini. Bahkan kadang-kala saya sendiri tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi. Ada ketikanya rasa sunyi yang menyelimuti ini bertukar menjadi perasaan rindu. Ah, mengapa begini, rindu kepada siapa pula? Sebenarnya saya rindukan anak-anak. Jika diikutkan belum pun sampai sebulan mereka semua kembali ke asrama.

Entahlah sukar untuk diungkapkan. Empat, lima tahun yang lalu mereka juga sudah pun menginap di asrama. Dan saya tidak pula merasa apa-apa, biasa sahaja. Tidak merasa sunyi dan rindu seperti hari ini. Malahan rindu itu kian memuncak terutama waktu malam sebelum melelapkan mata. Sambil berbaring dan tangan menongkat di dahi, benak kecil saya merintih: "Sunyinya..."

Mujurlah ada 'si kecil Haikal yang istimewa' menemani saya dan ummu Ikhwan. Kalau tidak tentu tambah sunyi. Bolehlah menghibur hati serta mengubat kesunyian mendengar coletahnya yang tidak tentu buah butir perkataan. (anak saya yang seorang ini dilahirkan tidak boleh bercakap dan mendengar)

Teringat pula kata-kata sang murabbi: "Semakin tua, insan menjadi semakin sunyi. Dan semakin sunyi hati akan menjadi semakin rindu. Rindu pada orang yang tersayang."

Ya, sangat benar ungkapan ini. Ketika usia semakin meningkat, hati menjadi sunyi. Dan kesunyian ini kerana ada rindu di dalamnya. Perlahan-lahan saya merasainya setelah usia tersisa di bilah-bilah jari.

Patutlah ibu(arwah) saya dahulu sering menelefon saya. Sekejap-sekejap suruh saya balik ke kampung. Bulan lepas sudah balik, bulan ini suruh balik lagi. Saya tidak mampu meneka dan menafsir. Memang patutlah saya rindukan anak-anak kerana mereka masih budak-budak lagi. Tetapi ibu bapa kita takkan begitu, kerana saya sudah berkeluarga, sudah tua. Begitulah fikiran dangkal di benak saya. Rupanya tidak, rindu tidak pudar seiring usia, bahkan rindu kian menebal apabila usia semakin bertambah. Buktinya, saya sendiri merasainya sekarang.

Kita sayangkan anak-anak kita. Ibu bapa kita pula sayangkan kita. Bila sayang akan terbit rasa rindu. Manakala rindu akan terubat apabila berjumpa, Itulah fitrahnya. Apabila kita memikirkan kerinduan kepada anak-anak, maka fikirkanlah akan kerinduan ibu bapa kita.   

"Semakin tua, insan menjadi semakin sunyi. Dan semakin sunyi hati akan menjadi semakin rindu. Rindu pada orang yang tersayang." 

Benar sekali.

Friday 22 January 2016

Alhamdulillah, aman dah sikit!

Sinar Harian Pahang 22/1/16: Penjual ikan dan udang di Pasar Balok turut gembira hasil tangkapan nelayan semakin meningkat selepas laut yang sebelum ini merah akibat bauksit kembali pulih seperti biasa.

Alhamdulillah, semenjak dua menjak ini hidup terasa kembali aman. Tidak jika keterlaluan saya katakan, suasananya seperti 2 tahun yang lalu. Keamanan ini lebih saya kecapi tatkala memandu ke Kemaman untuk menziarahi anak saya di sekolahnya, atau pun melalui jalan Sungai Lembing untuk menziarahi bapa saudara saya di RTP Bukit Goh (perkampungan Pak Ngah Aziz). Kedua-dua jalan laluan ini di antara yang agak teruk tercemar dengan debu planet Marikh.

Sekarang tidaklah terasa sempit dada dan sakit mata tatkala melalui jalan tersebut. Itu belum lagi dikira adegan ‘berperang’ dengan pesawat yang sarat dengan muatan hasil perlombongan di ‘planet Marikh’ tersebut. Berapa ramai pengguna jalan raya yang telah terkorban akibat kerakusan pemandu pesawat bauksit (segelintir daripada mereka). Tahulah 'kamu'(baca: yang segelintir itu) mahu mengejar trip tetapi janganlah sampai membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Teringat tragedi yang menyayat hati menimpa seorang guru wanita sehingga meragut nyawanya, apabila tayar pesawat bauksit tercabut dan menghentam hadapan keretanya. (Al-Fatihah) Bahkan banyak lagi siri kemalangan yang berlaku yang melibatkan pengguna kenderaan kecil. Tidak dinafikan ajal dan maut di tangan Tuhan, itu adalah hakikatnya. Namun, faktor kecuaian tetap ada. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.

Saya sendiri pun hampir-hampir terlibat dalam kemalangan apabila sebuah pesawat bauksit secara tiba-tiba masuk ke jalan utama tanpa memberi isyarat. Mujurlah saya sempat membrek, kalau tidak entahlah. Seringkali saya ‘bertasbih’ memaki-hamun pemandu pesawat bauksit yang menjadikan jalan raya seolah-olah milik keluarga mereka.

Sumber foto: Kartunis Ronasina

Alhamdulillah, jalan raya yang dulunya bukan berwarna jalan raya, kini sudah hampir pulih seperti sediakala, dengan garisan putih yang semakin jelas kelihatan. Dulunya jika memandu sering tercari-cari di mana pula garisan putih samada di tengah maupun di tepi. Itu memandu siang hari, kalau waktu malam lagi tambah parah. Pohon-pohon di kiri kanan jalan yang kemerahan diselaputi debu bauksit juga sudah hijau menceriakan. Kalau tidak, tak sanggup melihatnya. Bertempek debu-debu merah menyelimutinya. Kalaulah pokok-pokok tersebut boleh bercakap, entahlah apa yang dibebelkan. Kasihan!

Alhamdulillah, ceritanya, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengarahkan agar aktiviti perlombongan bauksit dihentikan selama 3 bulan mulai 15 Januari bagi membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dilaksanakan.

Menurut menterinya, kementerian sudah membekukan dan membatalkan semua permohonan permit AP bagi mengeksport dan menjalankan aktiviti perlombongan bauksit bermula sejak minggu lalu. Kabinet telah membuat keputusan tempoh pemberhentian operasi tiga bulan yang dibuat sebelum ini bagi aktiviti perlombongan bauksit akan dipanjangkan jika pengusaha dan pelombong bauksit masih gagal mematuhi arahan ketika moratorium (pemberhentian sementara)

Dalam pada itu, pihak SPRM telah menahan beberapa orang pegawai PTG Pahang atas dakwaan ada unsur-unsur rasuah dalam aktiviti perlombongan bauksit. Saya membaca di dalam akhbar Sinar Harian, dilaporkan pihak SPRM telah menemui sejumlah wang tunai melebihi RM100K yang disorokkan di dalam mesin basuh. Banyaknya.. patutlah selama ini ada sangat susah mahu menangani masalah ini. Ada sahaja alasannya. Rupa-rupanya sudah ada yang ‘makan’.

Hari ini pula seramai 4 orang ditahan atas dakwaan yang sama. Di antaranya peguam dan pegawai kanan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang. Mungkin ada lagi yang akan ditahan, mana tahu. Wallahua`lam.

Apa pun, keputusan ini amat menggembira dan melegakan penduduk sekitar daerah Kuantan. Biarpun hanya 3 bulan tetapi nikmat menyedut udara yang bersih (walaupun belum sepenuhnya bersih) sangat-sangat diharapkan setelah beberapa tahun kehilangan nikmat itu. Ini adalah hasil perjuangan rakyat marhein. Perjuangan yang tidak kenal erti penat dan lelah.

Alhamdulillah.

Monday 18 January 2016

Suka memasak, ada nikmat dan rahsianya..

“Penat tapi seronok.”

Itulah kisahnya apabila membuat majlis kenduri. Meriah apabila ia dibuat dengan bergotong-royong tanpa menyerahkan sepenuhnya kepada pihak katering. Kata pepatah: “yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul, hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicicah”. Dek kerana muafakatlah menjadikannya meriah dan menyeronokan.

Kedua, majlis kenduri menjadi acara berkumpul keluarga dan sanak saudara. Yang dekat dan yang jauh saling bertemu sambil meng`update’ perkembangan diri. Ada yang bertambah besar keluarga, ada yang sudah bertukar kerjaya, ada yang sudah bertukar kereta dan ada pula yang bertambah besar fizikalnya (perutnya??).

'Memasak untuk kenduri 2 dalam 1'
 
Hari Sabtu tempohari keluarga kami membuat makan kenduri. Bukan kenduri kahwin tetapi kenduri kesyukuran dan majlis bercukur kepala, dua dalam satu. Kenduri kesyukuran kerana adik kepada ibu saudara saya hampir sembuh setelah sepuluh hari koma. Asalnya beliau terjatuh di ladang kelapa sawit miliknya. Alhamdulillah, sekarang ini sudah boleh bertatih dengan bantuan tongkat berkaki empat dan pertuturannya juga sudah semakin baik. Jika tidak sebelum ini tidak berapa tentu butir perkataan yang dilafazkan.

Kenduri yang kedua adalah majlis kenduri cukur kepala cucu sulung kepada kakak saya, atau dalam kata yang lain cucu saudara saya. Cucu sulung daripada anak sulungnya. Bagi saya pula, rasa amat tua pula apabila mendapat gelaran tok su. Tetapi tidak kisahlah kerana semua kita memang menuju ke daerah itu seandai ajal tidak menjemput di usia muda. Apa pun rasa gembira tidak mampu digambarkan kerana telah bertambah seorang lagi ahli keluarga kami.

Majlis kenduri ini diadakan di rumah bapa saudara saya, memandangkan halaman rumahnya yang cukup luas. Maklumlah, rumah Rancangan Tanah Pemuda (RTP). RTP ini sama konsepnya seperti felda. Tetapi sekarang statusnya sudah pun bertukar daripada RTP kepada perkampungan. Sudah dapat geran pemilikan rasanya. Itu yang bertukar status tanah, saya agak sahaja.

Memang, lazimnya kenduri besar keluarga kami, beliau meminta dibuat di rumahnya. Senang, semua peralatan kenduri sudah cukup tersedia tanpa perlu dipinjam atau disewa. Sementelah lagi, mereka suami isteri memang menjadi tukang masak majlis kenduri di tempat tinggalnya. Kenduri kahwin anak saudara saya baru-baru ini pun dibuat dirumahnya.

Suka memasak

Seperti biasa, jika ada sebarang kenduri, saya suka membuat kerja-kerja di dapur atau bangsal memasak berbanding di bangsal hidang. Membuat kerja-kerja menyediakan makanan untuk para tetamu memang sangat saya minati. Banyak ilmu dan petua yang dapat dipelajari, biarpun pedih mata berperang dengan asap dan panas api yang memijar.

Semasa budak-budak dahulu, jika ada kenduri-kendara saya akan menempel di bangsal memasak. Membantu apa-apa yang patut, memarut kelapa, mengelap pinggan mangkuk, mengacau gulai dan paling kurang menyusun kayu api di bawah bangsal.

'Pulau Pinang 2010. Memasak juadah berbuka puasa untuk agihan kepada orang ramai'

Skil(??) memasak saya menempuh dimesi baru tatkala tiba bulan Ramadhan. Setiap petang saya dan beberapa rakan akan ke surau yang terletak berhampiran rumah ayahanda untuk membantu menyediakan juadah berbuka puasa. Kebiasaan menunya ialah nasi putih dan beberapa jenis lauk. Tidak lupa kuih-muih, buah tembikai berserta air panas sebagai pelengkap juadah.

Masih saya ingati tukang masak surau yang sentiasa pemurah dengan tunjuk ajar dan petua memasak. Bermula dengan Pak Ngah Majid yang memang bertaraf chef (tukang masak kenduri kampung kami), setelah beliau keuzuran diganti pula dengan Cikgu Hamdan sebagai tukang masak surau (Pak Ngah Majid meninggal dunia beberapa tahun selepas itu kerana sakit). Selepas itu tugas memasak diambil alih pula oleh abang Abdullah selepas cikgu Hamdan meninggal dunia. Saya dan beberapa rakan kekal sebagai pembantu yang setia, tanpa jemu menemani setiap petang Ramadhan. Hembusan angin petang bulan Ramadhan aktiviti memasak saya dan rakan-rakan di bawah bangsal yang redup, begitu nostalgia hingga kini.

Sehinggalah abang Abdullah meninggal dunia, tiada siapa lagi yang mahu memasak di surau. Kami pula yang semakin dewasa mula bekerja dan tinggal di luar setelah berkeluarga. Al-Fatihah kepada mereka bertiga, semoga Allah mengganjari mereka dengan balasan yang sebaiknya. Jika balik ke kampung dan kebetulan ada majlis kenduri di surau tersebut, saya melihat pihak katering sudah pun mengambil alih tugas menyediakan makanan. Tiada siapa lagi yang mahu memasak, lagi pun tidak perlu bersusah payah, cukup sekadar sediakan wang dan sudah boleh duduk bergoyang kaki.

'Memasak untuk mangsa banjir di dewan orang ramai, kami sekeluarga juga adalah mangsa banjir'

Kerancakan memasak, bertambah-tambah lagi apabila saya sekeluarga berpindah ke dewan orang ramai akibat bencana banjir yang melanda perumahan saya dua tahun lalu. Tanpa berbasa-basi saya menyertai beberapa sahabat Relawan yang ditugaskan memasak. Tiga kali sehari kami memasak untuk mangsa banjir (termasuk saya sekeluarga). Aduh, tidak mudah memasak untuk hampir seratus orang selama empat hari, dalam keadaan persekitaran yang kurang selesa. Mengendalikan berpuluh ekor ayam, berpuluh tin sardin, berkilo-kilo beras dan mee kuning, wahh, pengalaman yang tidak akan saya lupakan…

Nikmat dan rahsia memasak

Bila difikir-fikir, dimana agaknya kepuasan memasak ini. Apa yang saya tahu, saya cukup gembira apabila turut sama memasak di dapur. Bahkan tidak terasa kepenatan apabila saya tahu masakan saya itu menggembirakan orang yang memakannya. Mungkin inilah yang dinamakan nilai kasih sayang. Kita gembira, malahan sangat gembira jika dapat menggembirakan pula orang lain. Kegembiraan itu datangnya daripada kasih sayang. Sebab itu sesiapapun jika ditanya mengenai air tangan ibu, pastinya ia makanan yang paling enak dan kita menikmatinya dengan penuh kegembiraan kerana dimasak dengan limpahan kasih sayang. Itulah nikmatnya masakan yang dimasak oleh jiwa penyayang, seorang ibu...

Sunday 17 January 2016

Cara Mengelakkan Daripada Dihimpit Ketika Tidur (Kaedah Islam)


Untuk pengetahuan anda, syaitan bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia. Hadis riwayat Qatadah, Rasulullah saw menjelaskan:

ﺍﻟﺮُّﺅْﻳَﺎ ﺍﻟﺼَّﺎﻟِﺤَﺔُ ﻣِﻦْ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﺍﻟْﺤُﻠُﻢُ ﻣِﻦْ ﺍﻟﺸَّﻴْﻄَﺎﻥِ ﻓَﺈِﺫَﺍ ﺣَﻠَﻢَ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺣُﻠُﻤًﺎ ﻳَﺨَﺎﻓُﻪُ ﻓَﻠْﻴَﺒْﺼُﻖْ ﻋَﻦْ ﻳَﺴَﺎﺭِﻩِ ﻭَﻟْﻴَﺘَﻌَﻮَّﺫْ ﺑِﺎﻟﻠَّﻪِ ﻣِﻦْ ﺷَﺮِّﻫَﺎ ﻓَﺈِﻧَّﻬَﺎ ﻻَ ﺗَﻀُﺮُّﻩُ
"Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang buruk adalah dari syaitan.Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang menakutkannya,hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan dari Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia (mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan apa-apa kemudaratan." (Sahih Muslim no 4195)

Rasulullah saw mengajar kita agar berlindung kepada Allah apabila didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan, dengan menyebut a’uzubillah, ayat Tiga Qul dan sebagainya, kemudian meludah ke bahagian kiri dengan tiga kali ludah, yang ringan (anda jangan ludah betul-betul pula! sekadar memadai dengan isyarat hembusan semata-mata, dengan tanpa mengeluarkan sedikit pun air liur basi dari mulut anda), kemudian cuba beralih tempat tidur iaitu dengan mengubah posisi tidur. Daripada mengiring kiri, ubah mengiring kanan atau pindah ke tempat lain.

Rasulullah juga mengajar kita agar mengibaskan tempat tidur sebanyak tiga kali dengan kain sebelum baring. Rasulullah pada setiap malam ketika berada di tempat pembaringan, merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya kemudian meniup kedua-duanya dan membaca surah Tiga Qul, kemudian menyapu badannya dengan kedua-dua tapak tangan, yang dimulakan daripada kepala, muka dan seluruh tubuh yang tercapai oleh kedua-dua tapak tangannya sebanyak tiga kali.

Yang dimaksudkan dengan Tiga Qul di sini ialah surah an-Nas, al-Falaq dan surah al-Ikhlas.Serahlah diri kepada Allah. Terlalu banyak doa yang boleh dibaca yang berkaitan dengannya diantaranya ialah doa yang bermaksud, Ya Allah,dengan menyebut nama-Mu, ya Tuhanku kuletakkan lambungku, maka ampunilah dosaku. Setelah itu barulah membaca ayat al-Kursi dengan lidah. Baca ayat al-Kursi dalam hati apabila lidah mula tidak berupaya menyebutnya sehingga tertidur.

Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan, Allah akan mengutus dua malaikat menjaganya sehingga subuh. Perbanyakkan istighfar ketika di tempat pembaringan. Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang beristighfar tiga kali ketika berada di tempat pembaringan biarpun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak bintang di langit ataupun sebanyak pasir di pesisiran pantai.

Akhir sekali jangan lupa membaca Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar). Banyak kaedah yang merangkumi zikir-zikir dan kaifiat tertentu yang diajar oleh Rasulullah dalam usaha mengatasi masalah tidur. Kaedah ini berbeza-beza, menurut tahap-tahap serius gangguan yang dialami.

Perbanyakkan istighfar ketika di tempat pembaringan. Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang beristighfar tiga kali ketika berada di tempat pembaringan biarpun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak bintang di langit ataupun sebanyak pasir di pesisiran pantai. 

Sumber: Tranungkite

Friday 15 January 2016

Bicara santai: Biarpun nampak kecil!


"Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab: "Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (al-Mukminuun: 112-114)

Menurut al-Maraghi di dalam tafsirnya, pertanyaan Allah SWT kepada para penghuni neraka itu merupakan satu celaan atau penghinaan. Maksudnya, masa kehidupan di dunia yang mereka rasakan panjang itu sebenarnya amatlah singkat. Apatah lagi dibandingkan dengan azab yang sedang ditimpakan ke atas mereka. Demikianlah akibat kelalaian kepada akhirat dengan menyia-nyiakan masa ketika hidup di dunia.

Teman (aku),

Hidup ini amat singkat untuk kita bazirkan dengan sesuatu yang sia-sia. Benarlah ungkapan, muda cuma sekali, namun kehidupan di dunia ini juga hanya sekali. Setelah cukup tempoh usia yang diberi, maka akan hadir pula satu episod kehidupan yang lain. Itulah kehidupan yang kekal abadi, samada bahagia ataupun sengsara. Oleh itu, selagi punyai ruang masa didunia ini, teruslah berbakti dan menebar kebaikan. Jangan dikira sekecil mana kebaktian itu, kerana nilaiannya adalah disisi Tuhan yang Maha Pengasih.

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" (al-Zalzalah:7-8)

Fikir-fikir...

Monday 11 January 2016

'Makan angin' di Kulliah Abu Bakar hari ini..


Alhamdulillah, selesai mendaftar anakanda Ikhwan di Kulliah al-Lughah Waddin as-Sultan Abu Bakar, Pekan (Kulliah Abu Bakar) hari ini. Penat rasa badan memandu. Jarak perjalanan tidaklah terlalu jauh, lebih kurang seratus kilometer pergi balik. Tetapi badan orang tua bukannya tahan sangat, sana sakit, sini lenguh. Hai, itulah peringatan buat diri. 

Teringat kata-kata Buya Hamka: “Apabila pipi kendur, gigi gugur, uban dirambut mula bertabur, mata nampak kabur, maka ketika itulah seseorang itu nampak uzur…”

Allahu rabbi!

Sekitar jam 8.15 kami sekeluarga tiba di sana. Terus ke kanopi melapor diri sebelum ke kaunter pendaftaran yang dibuka pada jam 8.30. Saya difahamkan oleh Tuan Pengetua sewaktu berbual tadi, seramai 750 pelajar yang akan mendaftar hari ini. 450 orang pelajar perempuan dan selebihnya adalah pelajar lelaki. Sebanyak sepuluh kaunter pendaftaran dibuka untuk memudahkan urusan. Ini sebagai langkah mempercepatkan proses pendaftaran. 

“Kasihan kepada ibu bapa yang datang jauh-jauh, terpaksa menunggu lama”. Katanya. 

Saya memuji persediaan yang dibuat oleh pihak sekolah. Memang cepat, tidak perlu menunggu lama. Susun atur tempat meletak kenderaan pun bagus dan teratur. Syabas pihak pengurusan Kulliah Abu Bakar! 

'sahabatku, johan tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa 2003'
 
Hari ini juga menjadi hari yang sangat bertuah kerana tidak disangka-sangka saya bertemu dengan seorang sahabat sekampung. Saya kira lebih sepuluh tahun kami tidak bertemu dek kesibukan masing-masing. Sempat meng`update` perkembangan diri masing-masing dalam pertemuan yang tidak disangka dan singkat itu. Sahabat saya, iaitu Ustaz Datuk Ahmad Faizul Ghazali yang pernah menjadi johan qari tilawah peringkat kebangsaan pada tahun 2003. Seterusnya beliau mewakili negara pada tahun yang sama dalam pertandingan tilawah peringkat antarabangsa dan telah terpilih menjadi johan. Saya yang ketika itu menonton di televisyen melompat kegembiraan apabila pengacara pertandingan mengumumkan namanya sebagai pemenang. 

Apa pun, semua anak-anak telah selamat balik ke asrama. Semoga berjaya di dalam pengajian dan kehidupan duhai anak-anakku. Di rumah ini tinggallah ‘kami’ membilang hari-hari yang mendatang. Kamu pandang aku, aku pandang kamu…

Friday 8 January 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 53

Assalamualaikum warahmatullah, salam Jumaat mubarakah.


Kalaulah hidup di dunia ini mudah... Masakan sabar itu satu pintu daripada pintu-pintu syurga?

Tuesday 5 January 2016

Belajarlah bersungguh-sungguh duhai anak-anak!

 
 'PPTI Kemaman'

Hari ini merupakan hari yang agak sibuk bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak untuk didaftarkan ke sekolah. Pagi tadi sewaktu melintasi sebuah sekolah dalam perjalanan ke tempat kerja, saya menyaksikan kesibukan tersebut. Ibu bapa berpusu-pusu menghantar anak-anak yang akan memasuki darjah satu. Bermacam ragam dan peel yang dapat dilihat, yang merajuk, yang mengamuk dan ada yang terlebih berani pula. Teringat pula ketika saya mendaftarkan anak memasuki darjah satu dahulu.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan yang telah menggazetkan waktu persekolahan bermula jam lapan pagi. Alasannya ialah untuk memberi kelonggaran masa kepada para pelajar bersolat Subuh. Ya, satu usaha yang patut dipuji. Sesiapa yang pernah melalui waktu persekolahan seawal jam tujuh atau tujuh setengah pagi, tentu mengakui akan kesulitan tersebut. Mana nak bersiap, nak bersolat subuh kemudian takut pula ketinggalan bas. Lainlah jika dihantar oleh ibu bapa, ia tidak menjadi satu masalah.

Semoga Allah SWT merahmati kerajaan negeri Kelantan! 

Hari Sabtu kelmarin saya telah menghantar angah Irsalina pulang ke PPTI Kemaman untuk menyambung kembali pengajiannya. Negeri-negeri yang hujung minggunya hari Jumaat, memulakan sesi persekolahan pada hari Ahad. Insya-Allah jangka masa 'jihad' selama empat tahun perlu digunakan sebaiknya oleh anak kedua saya itu untuk dinobatkan sebagai lulusan peringkat Thanawi.

Manakala semalam pula, saya telah menghantar acik Adawiyah balik ke asramanya di SMKAA. Hari ini bermulalah sesi persekolahannya di tingkatan 2. Insya-Allah, minggu depan pula akan menghantar along Ikhwan ke Kuliah al-Lughah wa ad-Din di daerah Pekan. Beliau akan memulakan sesi pengajian di peringkat STAM di sana. Semoga dipermudahkan oleh Allah segala urusan.

Hmm, hampir berpeluh juga tapak tangan sewaktu membayar belanja persekolahan anak-anak. Tiada bahasa, tiada ungkapan, tiada pilihan keluarkan wang dan bayar. Itulah keterpaksaan (rela) yang perlu dihadapi oleh ibu bapa demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sebagaimana orang lain.Sebagai ayah yang mahukan anak-anak berjaya dan cemerlang dalam pelajaran, pasti sanggup menelan segala kepayahan dan kesukaran mencari belanja bagi persekolahan anak-anak.

Anak-anak, jika kalian melihat kesusahan dan keperitan ibu bapa mencari duit belanja untuk kalian dapat belajar dengan selesa. Maka, belajarlah bersungguh-sungguh. Senangkan hati ibu bapamu yang sekali-kali tidak pernah meminta balasan. Cukuplah kejayaan kalian sebagai penghilang penat dan lelah mereka.

Insafi dan berbanggalah dengan insan yang bergelar ibu bapa ini, duhai anak-anak!  

Saturday 2 January 2016

Solatullah wa salamuhu `ala Rasulillah (2)


foto hiasan (sumber)

Keluarga Nabi Muhammad saw

Keluarga Rasulullah saw dikenali dengan sebutan usrah Hasyimiyah - dinisbahkan kepada datuk  baginda, Hasyim bin Abd Manaf. Oleh sebab itu, perlu dihuraikan sekilas tentang Hasyim dan keturunan selepasnya.

1. Hasyim

Telah disebutkan sebelum ini, Hasyim ialah orang yang memegang amanah siqayah (melayani keperluan minum jemaah haji) dan rifadah (menyediakan makanan untuk jemaah haji) daripada kalangan Bani Abd Manaf. Amanah itu diberi sejak terjadi kesepakatan antara Bani Abd Manaf dan Bani Abd Dar tentang pembahagian tanggungjawab antara mereka. 

Hasyim ialah seorang lelaki yang amat dipandang tinggi dan kaya-raya. Dialah orang pertama yang menghidangkan tsarid (bubur roti) kepada jemaah haji di Mekah. Nama asalnya Amru. Nama Hasyim diberikan kepadanya kerana tugasnya sebagai hasym al-khubz (menghancurkan roti untuk dimasukkan ke dalam kuah bubur). 

Tradisi masyarakat Quraisy membuat perjalanan perdagangan pada dua musim (musim dingin dan musim panas)  juga dicetuskan pertama kali olehnya. Peranan Hasyim sebagai ketua kaum Quraisy diabadikan dalam sebuah syair:

Amru yang mengolah tsarid bagi kaumnya
Satu kaum yang tertimpa kelaparan hebat di Mekah
Dua perjalanan pun dikuasai olehnya
Perjalanan musim dingin dan musim panas

Ada maklumat yang menerangkan, Hasyim pernah pergi ke Syam untuk berdagang. Tatkala singgah di Madinah, dia menikahi Salma binti Amru, salah seorang keturunan Ady bin Najjar. Dia tinggal bersama Salma untuk beberapa waktu. Kemudian dia meneruskan misi perjalanan ke Syam, sementara Salma ditinggalkan bersama keluarganya dalam keadaan mengandungkan Abdul Mutalib.

Setibanya di Gaza, (sebuah wilayah di Palestin) Hasyim meninggal dunia. Selang beberapa lama, Salma pun melahirkan Abdul Mutalib pada tahun 497 M. Salma menamakan bayinya itu dengan nama Syaibah, lantaran ada uban (Syaibah) di rambut si bayi.(1)

Salma merawat anaknya di rumah ayahnya di Yathrib. Ketika itu, tiada seorang pun daripada keluarga Bani Hasyim di Mekah mendengar khabar kelahiran anak Hasyim. Keseluruhannya, Hasyim mempunyai empat orang anak lelaki, iaitu, Asad, Abu Shaifi, Nadhlah dan Abdul Mutalib. Dia juga mempunyai lima orang anak perempuan, iaitu Syifa, Khalidah, Dhaifah, Ruqayyah dan Junnah.(2)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 137 dan al-Mansyufuri, Rahmah li al`Alamin, jil. I, hal. 26 dan jil. II, hal 24.

(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 107.  

(Adaptasi daripada ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Friday 1 January 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 52

Assalamualaikum warahmatullah. Salam Jumaat mubarakah.


Kejayaan itu apabila kamu berdepan dengan kegagalan demi kegagalan, namun semangatmu tetap teguh tidak luntur.