Sahabat Sejati

Monday 7 March 2016

Syeikh Dr. Hasan at-Turabi (01 Februari 1932 - 05 Mac 2016) : Mentor Dakwah Di Balik Tirai Besi Di Sudan

Syeikh Dr. Hasan at-Turabi (01 Februari 1932 - 05 Mac 2016)

Sudan bukanlah bumi yang terasing dengan perjuangan Islam, kerana di wilayah ini pernah tertegak pemerintahan Islam seperti el-Funj, al-Musabaet. Bahkan di zaman penjajahan British golongan ulama telah memimpin perjuangan bersenjata yang dipimpin oleh Muhammad al-Mahdi yang telah memberikan penentangan yang sengit. Ribuan syuhada telah bersemadi di Sudan dalam era menentang penjajah British yang disifatkan oleh Jeneral Gordon, Sudan sebagai tempat paling sengit perjuangan menentang British.

British telah memerdekakan Sudan dan Islam telah menjadi elemen yang penting dalam mencetak rupa negara itu. Apatah lagi, Sudan sejak berabad lamanya sangat subur dengan pengajian Islam dan pengaruh alim ulama serta para sufi.

Menurut Muhammad Abu Bakar (1987), pengaruh Islam di Sudan adalah meluas dan idea pelaksanaan Islam pula telah didokong oleh beberapa puak dan pergerakan yang kuat. Golongan Ansar yang pernah ditewaskan oleh British telah menubuhkan Parti Ummah dalam tahun 1944, telah lama memperjuangkan Islam manakala puak Khatimiya yang merupakan golongan sufi yang terbesar di negara itu, bertanggungjawab membentuk Parti Demokratik Rakyat pula dan juga tidak ketinggalan mengemukakan idea-idea Islamnya.

Latar belakang dan kehidupan   

Dr. Hasan at-Turabi, satu nama besar dalam aspek dakwah dan gerakan Islam di Sudan, rasa terpanggil untuk mengajak manusia di negaranya agar kembali kepada cara hidup Islam yang lengkap lagi sempurna. Dengan membawa masuk fikrah Ikhwan Muslimin yang disifatkan paling sesuai untuk diterapkan di kalangan masyarakat seperti di Sudan.

Dilahirkan pada 01 Februari 1932 di Kasala yang terletak di timur laut Sudan bersempadan dengan negara Eriteria. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kuat berpegang pada ajaran agama Islam kerana bapanya seorang tokoh kadi dan tokoh pengamal tarekat sufi yang terkenal.

Mendapat pendidikan awal di tangan ayahnya dengan mempelajari bahasa Arab, ilmu perundangan Islam, ilmu-ilmu berkaitan Syariah dan Usuluddin, dan mampu menghafal al-Quran ketika usia masih kecil dengan tarannum beberapa riwayat qari.

Di peringkat pengajian tinggi, beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Khartoum pada tahun 1951-1955, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A di Universiti of London pada 1957 dan memperolehi Ijazah Kedoktoran (P.hd) dalam pengkhususan 'Kenegaraan' daripada Universiti Sorbone di Perancis pada tahun 1964. Justeru, beliau mampu menguasai empat bahasa iaitu Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Sekembalinya beliau dari Perancis dan pulang ke negara asal, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Undang-undang di Universiti al-Khartoum. Pada permulaan era pemerintahan Jeneral Omar el-Basyir, beliau telah dilantik sebagai Menteri Undang-undang pada tahun 1988 dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Ahli Parlimen pada tahun 1996.

Penglibatan dalam gerakan Islam dan kejayaan dalam politik

Ketika menuntut di luar negara, dan atas kesedaran mahu melihat anak bangsa seluruhnya berpegang teguh kepada ajaran, beliau melibatkan diri dengan beberapa persatuan pelajar yang menunjukkan minat mendalam dengan penghayatan cara hidup Islam yang cenderung kepada Ikhwan Muslimin.

Penggarapan dan pengalaman bersama-sama pelajar dalam program-program yang boleh disifatkan Islamik, beliau berhasrat dan menyimpan cita-cita besar mahu membawa fikrah Ikhwan Muslimin ke Sudan. Ia bermula dengan penglibatan beliau sebagai salah seorang anggota Barisan Perjanjian Islam Sudan yang merupakan cawangan kepada Gerakan Ikhwan Muslimin.

Barisan Perjanjian yang dianggotainya mendapat sokongan padu rakyat Sudan dan berperanan sebagai salah satu parti politik besar. Pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan berkenaan. Beliau menyusun perancangan untuk mengadakan penggulingan kuasa terhadap Presiden Jaafar Numeiri. Walau bagaimanapun perancangannya itu dapat dihidu dan akhirnya beliau ditangkap dan dimasukkan ke penjara selama tujuh tahun.

Perancangan Dr. Hasan diteruskan walaupun beliau berada di dalam penjara. Baginya, penggulingan kuasa perlu dilakukan memandangkan Presiden Jaafar tidak menjalankan undang-undang Islam, malah menonjolkan kepimpinannya berteraskan sistem sekular dan kapitalis pada masa sama. Presiden Jaafar berjaya digulingkan pada tahun 1977 dan pada itu juga Dr. Hasan dibebaskan.

Bermula dengan karier politik sebagai Menteri Undang-undang Sudan pada tahun 1979, kemudian dilantik sebagai Naib Perdana Menteri merangkap Menteri Luar pada tahun 1988 pada era pemerintahan Sodiq el-Mahdi dan pada tahun 1996 dilantik sebagai Ketua Ahli Parlimen yang berwibawa.

Beliau yang pernah dipenjara sebanyak tiga kali ketika pemerintahan Jaafar Numeiri pada tahun-tahun tujuh puluhan. Walau bagaimanapun, disifatkan oleh pengikutnya sebagai seorang tokoh ahli politik yang tajam pandangan, berwawasan dan dan mempunyai idea-idea yang bernas sehinggakan pihak lawan terpaksa berfikir dua kali sebelum menghadapinya untuk berhujah.  

Pada tahun 1991, Dr Hasan mengasaskan Persidangan Rakyat Arab-Islam yang menghimpunkan para perwakilan daripada 45 buah negara. Dalam persidangan itu, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Tujuan persidangan ituyang hampir serupa dengan OIC, antara lain mahu membetulkan beberapa isu yang selama ini dilihat tidak berjalan dengan baik menurut kacamata Islam, seperti isu kemerdekaan, syura dan lain-lain yang dianggap oleh Presiden Jeneral Omar el-Basyir sebagai usaha yang boleh menggugat kedudukannya.

Hasil tulisan sebagai bekalan akhirat

Dr. Hasan bukan sahaja mahu memperjuangkan Islam menerusi kerahan idea-idea, tenaga atau pun wang ringgit, tetapi beliau meluangkan masa untuk berbakti kepada Islam untuk masyarakat melalui hasil tulisan yang dilihat boleh menjadi rujukan selepas beliau meninggalkan dunia ini.

Justeru, kesibukan dengan melibatkan diri dalam arena politik dan kemasyarakatan tidak sedikit pun menghalang beliau membahagi  masa untuk menulis bahan-bahan ilmiah yang beliau percaya boleh menjadi amal jariah selepas meninggal dunia. Antara hasil tulisan beliau yang sempat disiapkan:

1 - Isu-isu mengenai Perpaduan dan Kemerdekaan
2 - Pembaharuan Ilmu Usul Fiqh
3 - Pembaharuan Pemikiran Islam
4 - Bentuk-bentuk tersusun bagi sebuah Negara Islam Moden
5 - Pembaharuan isu-isu agama Islam
6 - Pemerkasaan manhaj Syariat Islam
7 - Istilah-istilah politik dalam Islam
8 - Agama dan kesenian
9 - Wanita antara pengajaran agama dan budaya masyarakat
10- Politik dan undang-undang
11- Solat tiang agama
12- Gerakan Islam .. Perkembangan ..Manhaj ..dan rujukan kitab
13- Iman dan murtad dalam kehidupan Muslim

Ujian dalam perjuangan dan kehidupan 

Dr. Hasan at-Turabi bukan sahaja pernah mendekam lama dalam penjara, kehidupannya juga sebelum mendaki kuasa politik sentiasa diintip oleh pihak perisikan termasuk dari negara Mesir. Namun setelah memperkenalkan gerakan Islamisasi secara besar-besaran di Sudan, negara itu mula dianggap 'pariah'. Syarikat minyak Chevron telah menghentikan operasinya di negara tersebut.

Amerika Syarikat juga telah menggantungkan bantuannya terhadap Sudan, malah pernah mengebom negara tersebut kerana mendakwa Sudan telah melindungi Usamah bin Laden dan pergerakan al-Qaeda. Sudan juga telah diwajahkan sebagai negara yang mengalami kebuluran dan menindas penganut Kristian di selatan negara itu oleh media antarabangsa yang dikawal oleh Zionis dan Amerika.

Dr. Hasan at-Turabi mempunyai jasa dan sumbangannya yang tersendiri kepada pemupukan kesedaran Islam di Sudan, namun beliau juga mempunyai musuh politik di pentas perjuangan sehingga beliau acap kali difitnah.

Kematiannya

Pada usia 84 tahun, iaitu pada hari Sabtu 05 Mac 2016, Syeikh Dr. Hasan at-Turabi dijemput Allah untuk menemuinya, selepas serangan jantung. Beliau dibawa ke unit rawatan rapi Hospital Diraja Khartoum awal pagi dan meninggal di sana. 

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala ibadahnya dan memasukkan beliau ke dalam syurga bersama para Nabi, orang-orang yang jujur, para syuhada dan orang-orang soleh. Aminn!

Al-Fatihah...   

(Adaptasi daripada buku: Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden oleh Zainudin Hashim dan Riduan Mohd Nor terbitan Jundi Resources)

0 comments:

Post a Comment