Sahabat Sejati

Saturday 4 June 2016

Ramadhan yang melambai...

 
'Foto hiasan ~ Kanopi bazar Ramadhan berhampiran taman perumahanku'
 
Jendela Ramadhan mula melambai. Bahangnya kian terasa kepada sesiapa yang mahu menyambutnya. Di banyak tempat mula berdiri bazar-bazar Ramadhan yang menyajikan juadah yang jarang kedapatan pada hari biasa. Manakala di kaca televisyen dan corong radio mula berkumandang suara lembut menikam sukma: “yusuf taiyoob..” (you so tired). Semuanya menghangatkan lagi suasana Ramadhan yang bakal menjelma. 

Sekadar menjentik.

Siapa kamu menentukan cara kamu melihat.” Manakala natijahnya yang pasti ialah “cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat.” 

Ada yang merasa gembira dan senang dengan kedatangan Ramadhan, kegembiraannya seperti menunggu kedatangan sang kekasih yang amat dirindui. Contohnya, para sahabat ra.hum yang menanti-nati kedatangan Ramadhan seumpama menanti hari perkahwinan. Mereka menyambutnya dengan penuh cerdas dan semangat yang menyala-nyala. Rasulullah saw sendiri menggembirakan para sahabat dengan hadis-hadis yang menceritakan keistimewaan dan keutamaan puasa. 

Ada juga yang biasa-biasa sahaja dengan kedatangan Ramadhan. Baginya bulan Ramadhan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Apa sahaja kegiatan hariannya sama sahaja dengan bulan lain. Merasa senang dengan hari-hari yang telah dilalui, tidak serasa keistimewaan Ramadhan yang sempat dikecapi. 

Yang lebih teruk ialah mereka yang rasa terbeban dan terseksa dengan kedatangan Ramadhan. Seolah-olah Ramadhan adalah tetamu yang tidak diundang. Setiap hari yang dilalui pada bulan Ramadhan dengan keluh-kesah. Menunggu-nunggu agar segera berakhir Ramadhan.manakala Idul Fitri seperti hari kemerdekaan lagaknya. 

Dimanakah kita? 

Semoga Allah SWT memberikan segenap kebaikan di dalam bulan yang berkah ini. Aminn..

0 comments:

Post a Comment