Sahabat Sejati

Friday 27 January 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (23)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (22) 

foto hiasan ~ sumber

Perjumpaan Dengan Rahib Buhaira

Ketika Rasulullah saw berusia 12 tahun (ada yang mengatakan lebih dua bulan 10 hari)(1) baginda diajak oleh Abu Talib menempuh perjalanan perdagangan ke Syam. Mereka tiba di Busro, iaitu sebahagian dari negeri Syam, sekali gus ibu kota wilayah Hauran, bahkan dianggap sebagai ibu kota seluruh negeri Arab yang berada di bawah pemerintahan Rom.

Di kota ini ada seorang rahib bernama Jurjais yang dikenali dengan panggilan Buhaira. Tatkala rombongan dagang singgah di Busro, Buhaira menemui mereka. Dia mempersilakan mereka datang ke rumahnya sebagai tetamu kehormat. Padahal, dalam beberapa perjalanan sebelumnya, dia tidk pernah menemui mereka, Ketika itulah dia tahu bawah Rasulullah saw ialah nabi terakhir berpandukan pada ciri-ciri baginda. 

Sambil memegang tangan baginda, Buhaira berkata, "Anak ini adalah penghulu alam semesta. Anak ini akan diutus Allah sebagai rahmat bagi seluruh alam."

Abu Talib kehairanan, lantas bertanya, "Atas dasar apa kamu berkata begitu?" 

Buhaira menjawab, "Sebenarnya, sejak aku melihat rombongan kamu dari arah Aqabah, semua batu dan pepohonan tunduk bersujud. Mereka tidak bersujud kecuali melintasnya seorang nabi. Akhirnya aku tahu bahawa anak ini ialah seorang nabi setelah melihat tanda kenabian pada bahagian bawah tulang bahunya yang menyerupai epal. Tanda tersebut telah disebutkan dalam kitab-kitab kami."

Lalu, rahib itu meminta Abu Talib menghantar Nabi Muhammad pulang agar baginda tidak meneruskan perjalanan ke Syam kerana khuatir orang Yahudi akan mengetahuinya. Abu Talib menuruti saranan Buhaira lalu mengirimkan Nabi Muhammad pulang ke Mekah bersama beberapa orang anak buahnya.(2)

Meletusnya Perang Fijar

Tatkala Rasulullah saw menginjak usia 15 tahun, meletuslah Perang Fijar antara suku Quraisy bersama Bani Kinanah melawan Bani Qais Ailan. Panglima Quraisy dan Kinanah dipegang sepenuhnya oleh Harb bin Umayyah, lantaran usia dan ketokohannya dalam kalangan mereka.

Pada awal hari pertempuran, kemenangan berada di pihak Bani Qais Ailan. Namun begitu, ketika masuk tengahari, kemenangan berpindah ke tangan Bani Kinanah. Perang ini dinamakan Fijar (penyelewengan) kerana mereka melanggar kesucian Tanah Haram dan bulan-bulan haram.

Rasulullah saw turut terlibat dalam perang ini dengan mengumpul anak-anak panah musuh yang terhambur, lalu diserahkan kepada bapa-bapa saudara baginda untuk dilontar kembali kepada pihak musuh.(3)        

Rujukan: 

(1) Dinyatakan oleh Ibnu al-Jauzy dalam Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 7

(2) Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 16 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 180-183. Dalam kitab Tirmizi dan lainnya dinyatakan bahawa Abu Talib mengirim baginda pulang bersama Bilal, sebagaimana disebutkan dalam Tuhfah al-Ahwadzi. Pernyataan ini jelas salah kerana kemungkinan besar Bilal pada waktu belum ada. Kalau pun telah ada, tidak mungkin ketika itu Bilal telah menyamai usia Abu Talib mahupun Abu Bakar. Lihat Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma`ad, jil. 1, hal. 17

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 184-187, Fuad Hamzah, Qalb Jazirah al-`Arab, hal. 260, dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. 1, hal. 63    

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

3 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...sirah nabi tak jemu membaca apatah lagi lebih terperinci begini.... banyak lagi rupanya yang akak tak ketahui.
Terima kasih atas perkongsian.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...perkongsian menambah tahu...tksh

LadyBird said...

Assalamualaikum ustaz. 1st time kot lady masuk ke sini. Tenang je bc sirah nabi saw. .

Post a Comment