Sahabat Sejati

Thursday 23 February 2017

Kenangan masih basah: Saya rindukan hari-hari itu...(update)

Kata pujangga: “Rindu itu amat menyakitkan.” 

Benar sekali.

Entah kenapa kebelakangan ini, saya amat rindukan hari-hari yang telah berlalu. Kerinduan yang menyebabkan saya jadi sebak. Jiwa saya sakit merindui hari-hari itu. Kadang-kadang ada air mata yang menitis keluar. Rindu yang keluar dari kenangan itu kadang-kadang amat menekan jiwa. 

Saya dan rindu pada sesuatu 

Saya sering terkenang desa saya yang dahulu. Desa yang belum terusik dengan kemajuan yang rakus, menukar anak-anak kampung menjadi cacat budi dan tidak pandai berbahasa. Di saat semak dan belukar masih luas, ketika paya menerung masih berair, tempat saya meranduk bersama rakan mencari secebis kedamaian dekat dengan alam. 

Tatkala desa diserkup kelam malam, ditemani cahaya andang daun kelapa, kami berduyun-duyun ke rumah tuan guru belajar mengaji, berzanji, marhaban dan seribu satu ilmu bekalan kehidupan. Indahnya zaman itu. Biarpun ketika itu zaman hitam putih, namun perjalanan hidup ketika itu dipenuhi lorekan warna. Di sana ada secebis damai diri yang telah hilang hari ini. 

Kadang-kadang saya merindui zaman kehidupan di asrama dahulu yang penuh disiplin dan menjaga masa. Makan berjadual, solat lima waktu berjemaah dan ada kumpulan mengulangkaji pelajaran. Saya teringat di antara maghrib dan isya` wajib berada di musolla sekolah, berlumba-lumba menghafal surah-surah pilihan jika tiada kuliah yang disampaikan. 

Sebelum tidur mendengar cerita daripada abang-abang senior yang bertandang, selalunya katil saya yang menjadi mangsa berkumpul. Kerapkali mereka akan bercerita kisah-kisah hantu di kawasan asrama untuk menyakat dan menakut-nakutkan kami semua. Walaupun kisah yang disampaikan tidaklah semuanya benar, tetapi waktu itu kami amat mempercayai. Rupa-rupanya cerita tersebut diriwayatkan dari satu generasi ke satu generasi. Malahan saya turut melakukan perkara yang sama tatkala tiba masanya saya pula mengambil tempat abang-abang senior.

Teringat juga kepada teman-teman seperjuangan yang sama-sama mewakafkan diri di medan menuntut ilmu. Tanpa jemu menadah kitab sebagai persedian diri guna hari mendatang. Besarnya erti persahabatan dan ukhuwwah fillah, tanpanya persahabatan tiada nilai, kosong dan suram. Semua itu bagaikan baru semalam berlalu, kadang-kadang ia bertamu di alam mimpi. 

Adakalanya untuk mengubati kerinduan ini, saya akan membelek-belek majmu` hitam yang sederetan di dalam almari. Menyelak halaman demi halaman, lebih terasa tatkala tersua dengan nota-nota kusam yang banyak kedapatan pada Qamus al-Marbawy yang banyak berjasa. Begitu juga dengan lakaran yang lebih kepada contengan di dalam Mukhallis Qawaid al-Lughatul `Arabiyyah dan Matan Ajrumiah. Kebosanan barangkali atau mereda pening kepala yang melanda tatkala ber-`irab dalam subjek Lughah al-`Arabiyyah. 

Akan terubatkah rindu ini? 

Hari-hari yang telah berlalu mencetuskan kenangan yang tersendiri. Ada bau rindu di situ, rindu itulah yang membasahkan perasaan saya hari ini. Saya tahu kesedihan, menangisi hari semalam adalah sesuatu yang sia-sia. Kerana hari-hari yang telah berlalu tidak mungkin berulang kembali. Semuanya telah menjadi kisah dan sejarah, yang telah disimpan di dalam lipatan memori. 

Seandai kita bertanya adakah kita bahagia pada kehidupan yang lalu berbanding hari ini? Tentunya kita ada seribu satu sebab untuk berkata demikian. Sesungguhnya semalam telah pun berlalu, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah matahari hari esok. 

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti. Namun, kenangan semalam yang menjenguk dijiwa selepas perjalanan masa, itulah yang mematangkan fikiran. Nostalgia itulah yang mengajar erti kehidupan, ukhuwah, cinta dan kasih sayang. 

Saat ini saya masih lagi bertanya, AKAN TERUBATKAH RINDU INI?

5 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...
Kenangan silam sukar kita lupa kan....indah kan walaupun jauh dari arus kemodenan.Zaman kanak2 tak pernah rasa takut ,bebas bermain dimana saja dibandingkan anak2 skg bahaya ada di mna2.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...kenangan silam tak pernah luput dari ingatan terasa ingin megulangi semula detik lalu itu

Nor Azimah Ali said...

Assalam, moga ustaz dan keluarga berada dlm rahmat Allah selalu.

Mmg byk yang menjadi kerinduan kita pd masa lalu. Rindu kampung halaman, rindu teman sekampung, suasana belajar semua tu, tapi yg dpt kita simpan hanya secebis kenangan...
Mgkin di hari tua kita nnt, kita akn terus rindu pd saat dan ketika ini pula. Begitulah putaran kehidupan.

Normala Saad said...

Salam Abu, bila baca luahan isi hati Abu tentang rindu ni kak pun tiba-tiba terasa rindu juga pada zaman dulu2. Teutamanya zaman muda masih ada mak & pak...banyak benda yang tak dapat di kongsi dan diraikan bersama mereka..saya sentiasa rindu kenangan lalu waktu bersama.

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan...

Apa khabar ? lama tidak berkunjung kemari. Didoakan Abu Ikhwan dan keluarga dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah SWT. Aamiin.

Masa berlalu dengan pantas, dunia sudah berubah rentak dan tarinya oleh arus kemodenan. Jurang antara generasi dulu dengan generasi kini jauh berbeza dan amat terasa. Apa yang kita eluti di zaman 70-an (kanak-kanak), 80-an (remaja) dan awal 90-an (ambang dewasa) tidak mampu dibendung segala kenangan indahnya. Jawabannya, tidak akan pernah terubat rindu yang ada selagi nyawa dikandung badan kerana semuanya sudah hilang di pandangan mata. Bagi menawarinya, kita luahkan kepada anak-anak sebagai pewaris cerita lama kita. Sungguh, rindu zaman dulu tidak pernah hilang.

Salam takzim dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment