Sahabat Sejati

Wednesday 30 May 2018

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (31)

sumber FB

Coret-coret 13 Ramadhan (1439)

Assalamualaikum warahmatullah.

Banyak perkara yang terjadi dan mahu dicoretkan sepanjang Ramadhan ini. Ada yang menggembirakan, mengejutkan, mendukakan serta yang menyebabkan rasa terkilan. Namun, hakikatnya mahu saya tidak dapat mengatasi mampu saya. Akhirnya apa yang terjadi berlalu begitu sahaja tanpa sempat saya coretkan pada waktu yang sepatutnya, walaupun dengan beberapa patah perkataan. 

Benar, saya dapat merasakan Ramadhan kali ini, saya benar-benar dilanda kesibukan berbanding yang tahun-tahun sebelumnya. Banyak program kebajikan dan kemanusiaan yang perlu ditangani. Tidak cukup dengan itu ditambah pula dengan tugasan baru iaitu menguruskan program pengajian kuliah ilmu di tempat saya sepanjang Ramadhan ini. Walaupun begitu, saya cuba mempositifkan diri, memaksa untuk gembira dan seronok dengan kesibukan ini. Moga kesibukan ini ada nilai disisi-Nya, ameenn.

Semalam adalah hari ulangtahun kelahiran anakanda acik Adawiyah. Tahun ini, tarikh yang menjadi ingat-ingatan itu jatuh pada bulan Ramadhan. Seperti sebelumnya, saya sentiasa berazam untuk tidak gagal meraikan hari anak-anak. Ya, semua anak-anak. Mengapa? Agar anak-anak sentiasa merasa dihargai. Jiwa yang sentiasa dihargai akan melahirkan seorang yang tahu menghargai, demikianlah ingatan diri saya.

Rancangnya, pada sebelah petang selepas tamat waktu bekerja, saya berhasrat untuk bertemunya di asrama seraya menghantar kek sebagai tanda ucapan ulangtahun kelahirannya. Entah macamana, segalanya tidak menjadi apabila terpaksa 'stayback' di pejabat menyudahkan kerja-kerja yang belum beres. Sudahnya terpaksa membatalkan perancangan yang diatur.

Sedikit terkilan dengan apa yang berlaku. Rasanya inilah kali pertama saya gagal untuk meraikan hari ulangtahun kelahiran acik Adawiyah. Namun begitu, perasaan ini tidaklah lama kerana saya cuba meyakinkan diri bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tidak perlu bersedih. Insya-Allah, nanti apabila anakanda saya itu pulang bercuti sempena sambutan aidilfitri, kami sekeluarga akan meraikannya dengan sebaiknya, ameenn.       

Wednesday 23 May 2018

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (30)

sumber foto: FB

Coretan di Ramadhan 6 (1439H)

'menunggu giliran, cuma kami'

Alhamdulillah, selesai sudah temujanji hari ini. 

Seawal jam 7 pagi saya memulas pemecut motosikal menuju ke HTAA. Si kecil Haikal yang istimewa membonceng di belakang memeluk erat. Cuaca cerah mengiringi perjalanan kami. Insya-Allah, tak hujan hari ini. Lagipun sekarang ini telah pun di luar musim hujan. Jika hari hujan terpaksalah membawa kereta. Satu perkara yang saya tidak minati apabila memenuhi temujanji di HTAA. 

Bukannya apa susah benar mahu mencari ruang 'parking'. Sekiranya 'parking kokse-kokdang', tak pasal-pasal disaman oleh pak polisi trafik atau penguatkuasa majlis perbandaran. Ekoran itu saya lebih suka bermotosikal sahaja. Tetapi jika hari hujan, terpaksa juga membawa kereta, apa boleh buat. 

Oh ya, hari ini temujanji si kecil Haikal di unit Paediatric. Sengaja saya merancang untuk meluar awal kerana sudah faham ragam dan resam di unit tersebut. Jika datang lewat alamat 'berjanggutlah' menunggu angka giliran dipanggil. Sementelah lagi di bulan Ramadhan, pasti penantian tersebut menjadi satu penyeksaan. Cewahh..

Berkat pengorbanan keluar awal membelah kedinginan pagi, tampak berbaloi. Rupa-rupanya kami adalah orang pertama yang meletak buku temujanji di dalam kotak yang disediakan. Harap-harap semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan. Manalah tahu jika fail rawatan tidak ditemui atau berada di unit lain, atau boleh jadi juga doktor pakar lewat datang ke sini kerana perlu menyelesaikan kes di wad. Semua itu boleh menjadi faktor penyumbang "menunggu lama". 

Sewaktu menunggu angka giliran dipanggil, si kecil Haikal menyuakan tangan ke perutnya. Ooo.. maknanya lapar. Memang keluar dari rumah tadi, dia tidak sempat menjamah makanan. Lagipun sudah menjadi kebiasaan saya membawa dia makan seusai temujanji. Kami akan singgah di restoran berhadapan masjid negeri. Menu kegemarannya semestinya roti telur diganding dengan milo susu. 

Masalah pula, bagaimana saya mahu memahamkan si kecil Haikal bahawa sekarang ini bulan Ramadhan. Pada bulan ini umat Islam menjalani ibadah puasa, yakni tidak makan dan minum di siang hari. Anak ini tidak mendengar walaupun memiliki sepasang telinga, malahan tiada juga perkataan biarpun mempunyai mulut seperti orang lain. 

Akhirnya, sebelum pulang ke rumah saya singgah juga di kedai makan tersebut. Alhamdulillah, 'si kecil Haikal yang istimewa' mengangguk-angguk apabila saya tunjukkan pintu kedai makan tertutup rapat. Insya-Allah, dia faham.  

Monday 21 May 2018

Pemergian yang dicemburui

foto terakhir ketika berbuka puasa (ustaz Hussni berserban merah)

Kelmarin.

Semasa sedang berehat-rehat sambil di ruang tamu sekembali dari solat tarawih, saya dikejutkan dengan berita yang menerjah ruang mesej. Barisan ayat yang terpampang di skrin telefon bimbit amat memeranjatkan. Beberapa kali saya membacanya kerana agak sukar untuk menerima berita tersebut.

Akhirnya, setelah beberapa orang lagi sahabat menghantar mesej yang hampir serupa, barulah saya dapat menerima kesahihannya. Terkedu seketika. Allah..

"Sahabat kita al-Fadhil Ustaz Hussni Mohamed Diah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Madinah."

Demikianlah bunyi mesej tersebut.

Allahyarham berada di Madinah kerana menunaikan ibadah umrah Ramadhan. Diceritakan allahyarham mengalami sesak nafas selepas berbuka puasa, lalu dikejarkan ke hospital. Selang beberapa ketika allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir.

Sahabat saya ini meninggalkan 'kesibukan dunia ini' pada bulan yang mulia dan di tempat yang mulia. Mudah-mudahan ia menjadi asbab Allah SWT mengampuni semua kesalahannya dan menerima semua amal kebaikannya.

Berita yang baru menyusul, allahyarham telah disemadikan di perkuburan Baqi`yang turut menjadi persemadian para sahabat radiallahu anhum ajma 'in. Allahu rabbi.. Moga berbahagia sahabat dalam kelana ke negeri abadi. Al-Fatihah.  

Saturday 19 May 2018

Himpunan Soal-Jawab Puasa


Setiap amalan anak Adam itu ada ganjaran pahala yang ada hadnya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Puasa adalah sebahagian daripada ibadah. Puasa ada berbagai-bagai jenis. Ada puasa wajib seperti puasa di bulan Ramadan, puasa qada, puasa kafarah, puasa nazar dan ada juga puasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa hari putih iaitu 13, 14 dan 15 haribulan qamari dan banyak lagi. Puasa sebenarnya cukup sinonim bagi umat Islam dan antara ibadah yang paling disukai Allah. 

Walau bagaimanapun, sebelum berpuasa, penting bagi umat Islam mengetahui syarat-syarat mencapai matlamatnya, bermula dari sah dan batal hingga kepada perkara yang remeh seperti perkara-perkara sunat yang dibuat tetapi mencapai ganjaran yang cukup besar. 

Buku Himpunan Soal Jawab Puasa adalah himpunan soal jawab daripada kebanyakan soal jawab yang sering menjadi persoalan di kalangan umat Islam. Setiap soalan diambil dan ditapis baik daripada pandangan ulama tradisional mahupun persoalan-persoalan yang terkini dan kontemporari. 

Tajuk: Himpunan Soal-Jawab Puasa
Penyusun: Ahmad Adnan Fadzil & Zulkarnain Dollah
Penerbit: PTS Media Group
Mukasurat: 112
Harga RM4.50

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Friday 18 May 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 108

Salam Jumaat.


"Islam will win with or without you. But without Islam, you will get lost, and lose."
~Sheikh Ahmed Deedat Rahimahullahu Taala

Thursday 17 May 2018

Cetusan rasa di Ramadhan 1 (1439H)

Sukar untuk aku gambarkan perasaan ini tatkala masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara pagi  1 Ramadhan 1439H. Benar-benar aku memanjatkan rasa bersyukur kerana di takah 42 (usiaku) ini kesempatan masih ada untuk meniti titian Ramadhan yang barakah ini. 

Cuma tidak dapat kusisihkan di dalam benak, apakah aku mampu untuk menghabiskan aturan langkah hingga ke titian yang terakhir. Atau jika telah tersurat bahawa aku gagal untuk melangkah hingga ke penghujung titian. Kepada Allah jua dipanjatkan bahasa doa.

Masih kuingati, tahun lalu, tanganku melambai lidahku mengucapkan selamat tinggal duhai Ramadhan 1438H (hakikatnya Ramadhan yang meninggalkanku). Rangkulan penuh erat mesra bertaut perlahan-lahan kuleraikan, sambil berbisik penuh sayu, "Moga dikau sudi bertemu denganku lagi duhai Ramadhan."

Cukupkah puasaku (1438H)? Alhamdulillah, cukup sebulan. Bagaimana pula dengan kualitasnya, tiada cacat cela? Entahlah. Kuserahkan pada Yang Maha Pemurah untuk menilainya. Hakikatnya puasaku hanyalah puasa orang awam. Tersemat kebimbangan dengan ingatan Rasulullah saw bahawa ada orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.    

Justeru, tahun 1439H ini kutitipkan sebuah keazaman agar Ramadhan yang dianugerahkan menjadi yang terbaik sebagai persembahan berbanding dengan yang telah kunikmati sebelum ini. Moga diperkenankan Tuhan Jalla wa `Ala.

Salam Ramadhan al-Mubarak 1439H


Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah thumma innal hamdalillah, puji-pujian hanyalah milik Allah SWT. Marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan penuh kerendahan dan perhambaan kerana dengan rahmat-Nya, kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk sama-sama memasuki gerbang Ramadhan al-Mubarak ini.

Pastinya, tanpa belas kasihan dan keizinan Allah SWT kita tidak akan dapat mengecapi nikmat ini. Justeru, tatkala diberikan sekali lagi peluang untuk memasuki bulan Ramadhan yang mulia ini, gunakanlah untuk menambah amal kebaikan sebanyaknya. Jangan sekali-kali menjadi golongan yang disebutkan oleh Rasulullah saw, iaitu golongan yang rugi dengan kedatangan Ramadhan. Itulah golongan yang tidak mendapat keampunan-Nya setelah berlalunya Ramadhan.

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah ra. katanya: Rasulullah saw bersabda: “ Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar.” Maka kami pun berhimpun. Lalu baginda menaiki anak tangga mimbar, baginda berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya: “ Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.” Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail as. telah membisikkan doa kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. (Riwayat al-Hakim dan sanadnya sahih)

Keampunan daripada Allah SWT adalah impian dan harapan setiap hamba. Keampunan inilah yang akan memberikan nilai dan harga diri kita di sisi Allah SWT. Tiada kemuliaan dan kegembiraan bagi seseorang hamba Allah SWT melainkan dirinya diampunkan segala-gala kesilapan, kesalahan dan dosa-dosanya yang menggunung.

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (ali-Imran: 133)

Di kesempatan ini saya menghamparkan sepuluh jari mengucapkan Salam Ramadhan al-Mubarak 1439H kepada semua sahabat khususnya pengunjung 'pondok kecil abuikhwan'. Marilah kita semua berdoa agar diberikan kekuatan untuk melakukan segala ketaatan yang ganjaran pahalanya berlipatkali ganda, serta  diterima amalan tersebut oleh Allah SWT. Ameenn ya Rabb..

Wednesday 16 May 2018

Selamat Hari Guru (16 Mei 2018)


Nostalgia (Soutul Amal) 

Terkenang sebuah memori lalu 
Kisah persahabatan kita bersama 
Di dalam satu pengajian 
Menuntut ilmu dan pengalaman 
Mengingatkanku pengorbananmu 
Terpahat padu di jantungku

Bersama rakan dan guru 
Tawa riangmu menghiburkan hatiku 
Indahnya suasana ketika itu 
Terjalin ukhuwwah sejati 
Nasihatmu sungguh bermakna bagiku  
Mengenalkanku erti kehidupan 
Susah payah kita hadapi bersama 
Itulah asam garam dalam kehidupan 

Ya Tuhanku tabahkan hatinya 
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup 
Nikmatkannya maghfirah dan kasih sayang-Mu 
Agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat..

Tuesday 15 May 2018

Ramadhan, kian terasa kehangatan..

Pilihanraya umum ke 14 telah pun berakhir. Siapakah yang menjadi pemenang dan melangkah ke Putrajaya telah pun kita ketahui. Siapa yang belum menang juga kita ketahui. Sebenarnya keputusan pilihanraya telah pun ada sebelum berlaku pilihanraya. Keputusannya telah pun ada sejak di azali lagi.

Malahan keputusan pilihanraya umum ke 15 (jika belum kiamat) juga telah pun ada tersimpan di sisi Allah SWT.   Setiap orang cuma boleh bekerja dan berusaha untuk memenangkan parti masing-masing. Maka, di atas kerja keras tersebut menjadi asbab kemenangan masing-masing. 

Opss, saya bukan mahu menganalisis apa yang berlaku dalam pilihanraya umum tempohari. Tak apalah, kita lupakan cerita mengundi. Serahkan kepada mereka yang berkenaan untuk menunaikan manifesto yang telah dilancarkan. Justeru, selamat bertugas kepada rakyat duhai Yang Berhormat.

Gerbang Ramadhan 
 
Beberapa hari lagi kita semua akan melangkah memasuki gerbang Ramadhan yang dirindui. Bahang kehangatannya kian terasa. Para pencinta ibadah pasti tidak sabar untuk menyambut dan meraikannya.  Ramadhan terkandung di dalamnya rahmat, keberkatan, kebajikan, kesuburan dan keredhaan-Nya.

Allah SWT, Tuhan kita yang penuh dengan belas kasihan. Dia mempelbagaikan ibadah buat kita agar kita merasa seronok, gembira, tidak jemu. Bukan hanya solat sebagai ibadah, malahan berjalan ke masjid, menyantuni anak yatim, melayani si faqir, menyendiri di keheningan malam, menghulur sedikit lebihan buat si peminta. Begitu juga berlapar dan menahan diri daripada kebiaasaan juga adalah ibadah. Lihat, berlapar juga satu ibadah. Subhanallah!

Berpuasa natijahnya adalah untuk membuahkan taqwa, sebagaimana firman Allah SWT:
 "Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana ia telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu beroleh taqwa." (al-Baqarah: 183)

Demikianlah, kasihnya Allah SWT kepada kita semua. Dalam setahun diperuntukkan selama sebulan untuk kita menyuburkan bekalan taqwa. Bekalan untuk kesejahteraan kehidupan. Justeru, Ramadhan yang bertandang adalah peluang untuk menghasilkan taqwa perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya.   
 
Bersama kita menyambut Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan keazaman yang setingginya untuk beribadah di dalamnya. Allahu al-Musta`an.  

Sunday 13 May 2018

Sanah helwah ya bunayya (along Ikhwan)


Hari ini, 13 Mei datang lagi dengan senyuman yang melebar mesra. Sebagai batu aras catatan masa yang  bergulir. Anakanda Wan Mohd Ikhwan telah pun menjangkau 20 tahun, meniti usia menuju dewasa.

Selamat ulangtahun kelahiran anakanda along Ikhwan. Daripada abi, ummi, angah Irsalina, acik Adawiyah dan adik Haikal yang istimewa. Semoga sentiasa di dalam rahmat, berkat dan kebaikan-Nya dalam melewati hari-hari mendatang.

Friday 11 May 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 107

Salam Jumaat.


"Saat kau dilahirkan engkau menangis tetapi orang lain ketawa, tetapi BERJUANGLAH sampai di saat kau mati, orang lain menangisi pemergiaanmu tetapi engkau tertawa dalam senyuman."
~Buya Hamka

Thursday 10 May 2018

Cetusan rasa di PRU 14

Entahlah, tiba-tiba saya merasakan benar-benar amat bererti pilihanraya umum kali ini. Oh, ia tiada kena mengena dengan keputusan pengundian yang telah berakhir. Walaupun negeri saya telah bertukar menjadi negeri pembangkang setelah kerajaan pusat bertukar, namun bukan itu yang menjadi penyebab detak perasaan saya.

Saya masih lagi mengundi di kampung. Tidak terfikir lagi mahu bertukar tempat mengundi di tempat tinggal saya kini. Buat masa ini, saya merasa amat selesa untuk pulang mengundi di kampung. Biarpun ada sebilangan rakan di sini yang 'memujuk' agar bertukar tempat mengundi. Tetapi ia belum lagi mampu saya penuhi. Mungkin di masa akan datang jika masih punyai lagi baki usia..

Seutamanya saya merasa gembira mengundi di kampung kerana dapat bertemu dengan saudara-mara dan sahabat handai yang turut mengundi di tempat yang sama, samada yang masih tinggal di kampung atau yang telah bergelar perantau. Ada yang dari Terengganu, Johor, Melaka, Kuala Lumpur serta yang di daerah lain dalam negeri Pahang. Kami sama-sama pulang untuk menunaikan kewajipan kepada negara yang tercinta ini. 

Tatkala ditanya mengapa tidak sahaja bertukar tempat mengundi di negeri yang diduduki, bukankah itu lebih mudah tidak perlu berkejar pulang. Lebih-lebih lagi jika hari mengundi dijalankan pada hari biasa seperti PRU 14 ini. Ternyata alasan mereka sama, "inilah peluang mahu bertemu dengan sahabat-sahabat." 

Benar, pada hari lebaran pun amat sulit untuk bertemu. Ada yang pulang, ada yang tidak. Ada yang menyambut lebaran bersama keluarga sebelah mertua. Tetapi untuk mengundi pilihanraya, masing-masing gagahi jua untuk pulang. Tidak kisahlah apa pilihan parti politik mereka. Itu milik keyakinan masing-masing. Namun, peluang bertemu dan berkumpul sebegini seharusnya dimanfaat semaksimum mungkin.

Alhamdulillah, dalam ramai-ramai sambil bersenda-gurau, saya menyampaikan ucapan ringkas, "Dalam PRU yang lalu ada beberapa sahabat yang kita lihat masih bersama, tetapi kali ini mereka tiada bersama kita. Dimanakah mereka?"

Sambil memerhatikan wajah sahabat satu persatu, saya menyambung kembali, "Ada yang tidak dapat pulang mengundi kerana kesulitan yang berbagai, itu cerita lain. Tetapi ramai di antara kita yang telah pulang ke rahmatullah, yang menyebabkan mereka tidak dapat bersama kita pada hari ini dan sampai bila-bila."

Angin lembut yang bertiup menambah damai rasa.

"Dan pada PRU yang akan datang, tidak pasti apakah kita semua masih dapat bertemu semula seperti hari ini atau bagaimana. Entah siapa pula di antara kita yang akan dijemput Tuhan. Mungkin saya, mungkin sahabat-sahabat." Saya mengakhiri ucapan ringkas tersebut.

Pastinya kata-kata tersebut saya tujukan kepada diri saya sendiri. Dalam diam saya menghitung diri, entah berapa banyak lagi usia yang masih berbaki. Seandainya dijemput Tuhan sebentar lagi, apakah telah cukup apa yang perlu dibawa? Allahu..         

Wednesday 9 May 2018

'Raya' sebelum puasa..

Peristiwa besar dalam negara yang tercinta ini. Jangkamasanya dalam 5 tahun sekali. Malahan hari besar ini digazetkan sebagai cuti am jika jatuhnya pada hari biasa. Setiap warga negara yang layak diwajibkan untuk menunaikannya. Di dalam media cetak maupun media elektronik berulang kali seruan atau kempen agar tidak lupakan kewajipan tersebut. 

Maka berbondong-bondong para perantau pulang ke kampung untuk 'menyambutnya'. Jika terlepas tahun ini, terpaksalah menunggu 5 tahun akan datang. Inilah 'raya' yang tidak kurang meriah sambutannya. Bezanya 'raya' yang ini tidak ada alunan takbir yang mendayu-dayu, tiada ketupat lemang dan aneka juadah lain. Raya yang saya maksudkan ialah pilihanraya umum bagi negara Malaysia yang tercinta ini. Pilihanraya adalah proses demokrasi untuk memilih peneraju negara ini.

Tahun ini adalah tahun PRU ke 14. Maknanya sudah 14 kali proses pengundian telah diadakan sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Ada yang menang dan ada yang tewas. Parti yang menang akan menjadi kerajaan untuk meneraju negara ini dalam jangkamasa 5 tahun sebelum diadakan pemilihan semula.      

Setiap warganegara yang layak membuang undi mempunyai pilihan masing-masing. Justeru, pilihlah yang mana satu idaman kalbu.  

sumber foto ~ google

Saturday 5 May 2018

Masa yang berlalu tidak akan kembali..

sumber ~ FB Hati Kampung

#Andainya masa yang berlalu mampu kuundurkan, pasti kurangkul seeratnya agar tidak meninggalkanku..

Thursday 3 May 2018

Hebatnya doa..


Jarak langit dan bumi tersangat jauh sehingga ke hari ini tiada pakar yang dapat mengukurnya. Namun ianya menjadi dekat dengan doa yang dilafazkan. 

“Ya Allah, bantulah aku, kasihanilah aku...” Lalu ungkapan doa makhluk di bumi ini dengan pantas naik ke langit. Maka turunlah pertolongan Tuhan yang Maha Pengasih kepada hamba-Nya. 

Demikianlah, hebatnya doa..
 
"Dan Dia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya." (Asy-Syuura: 26)

Wednesday 2 May 2018

Allahumma ballighna Ramadhan..


16 Sya`ban 1439H. Bermakna dalam dua minggu lagi kita akan memasuki gerbang Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan dan kebaikan. Setiap yang beriman pasti menunggu-nunggu kedatangan bulan ini. Mereka mahu merebut semua kebaikan dan kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Memasuki bulan Ramadhan bermakna kita akan memulakan ibadat besar yang difardhukan iaitu berpuasa. Puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadah khas dan istimewa buat umat Muhammad yang tidak disyariatkan kepada umat sebelumnya.  

Perbanyakkanlah berdoa agar Allah SWT memberi kesempatan untuk kita semua memasuki bulan Ramadhan pada tahun ini. Berapa ramai kaum keluarga dan sahabat handai yang telah 'pergi' selepas Ramadhan yang lalu. Tentunya mereka sedikit pun tidak mengetahui bahawa itulah Ramadhan yang terakhir buat mereka. 

Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan!